utama

Tampil lakonan selamba

Oleh Sudirman Mohd Tahir

NAMA penyanyi popular, Naim Daniel bukan sahaja dikenali menerusi bidang nyanyian, tapi juga lakonan.

Bakat lakonannya terbukti memberi kesan kepada penonton menerusi beberapa drama sebelum ini. Beri sedikit masa lagi pada Naim, dia mampu pergi jauh sebaris dengan pelakon hebat tanah air lain.

Malah, tidak mustahil suatu hari nanti penyanyi lagu Sumpah ini mampu menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik. Dan itu antara yang diidamkan bagi setiap pelakon.

Apa yang pasti, seiring dengan perkembangan kerjaya, kematangan Naim dalam berkarya juga semakin terserlah. Terbaharu, menerusi drama Lelaki Lingkungan Cinta yang ditayangkan di slot Lestary, TV3, Naim mencuri perhatian menerusi watak Adib.

Lakonan bersahaja yang dipamer membuatkan penonton berasa lebih dekat dengan watak itu apatah lagi jalan cerita yang dipaparkan mengisahkan percintaan dunia remaja.

Menariknya, walaupun itu lakonan pertama Naim menerusi genre cinta, dia berjaya membawa emosi penonton untuk terus kekal setia.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sambutan sangat menggalakkan. Memandangkan ini drama santai yang bertemakan cinta, jadi saya berasakan orang kita memang suka dan ia sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

"Bagi jalan cerita sebegini, ini percubaan pertama saya. Selalunya dapat watak sedih, anak teraniaya dan orang susah. Kiranya, untuk watak Adib ini ia bukan saya seperti kebiasaan yang pernah penonton lihat dalam drama sebelum ini.

"Memandangkan ia berkisarkan dunia remaja, jadi karakter ini memerlukan saya berada pada tahap remaja. Jadi, ini cabaran untuk saya menjayakan watak Adib. Pendekatan dibuat adalah saya cuba tampilkan lakonan bersahaja dan selamba. Dalam erti kata lain tidak terlalu ikut skrip, tapi masih terikat dengan kehendak jalan cerita dan novel," katanya.

Menurut Naim, dia beruntung apabila penulis skrip iaitu Marr Mohamad memberi kebebasan untuknya mencorakkan watak itu mengikut keselesaan dirinya.

"Terima kasih atas peluang diberikan oleh Zeel Production. Macam penulis skrip, dia suruh saya buat apa yang rasa selesa. Penulis novel pun okey. Kiranya semua pihak okey ditambah pasukan drama ini sangat membantu," katanya.

Cipta keserasian

Pertama kali digandingkan bersama pelakon, Shasha Abedul, menurut Naim dia perlu mencari keserasian bagi membolehkan lakonan mereka tidak kekok di skrin.

"Watak utama cerita ini, semuanya muda. Jadi, senang untuk kami bekerjasama. Nak mencari keserasian pun tidak berdepan banyak kesukaran. Cuma dengan Shasha, awalnya memang kekok sebab ini pertama kali saya jumpa dan berlakon bersama.

"Apabila sudah memulakan penggambaran, keserasian itu datang sendiri. Hasilnya dalam skrin nampak semula jadi saja. Apatah lagi, karakter saya dalam cerita ini memang nakal dan suka kenakan orang, mungkin ia turut membantu.

"Macam dengan Ismail Izzani, kami memang rapat dan sudah seperti adik-beradik. Jadi, tidak ada masalah nak cipta keserasian. Tapi, apabila di lokasi kami kena profesional. Sebab dalam cerita ini kami tidak sebulu," katanya.

Keseraian yang wujud itu juga menyebabkan peminat sudah mula menyatukan Naim dan Shasha sebagai pasangan kekasih sebenar.

"Saya ada juga mengusik peminat di Twitter mengenai perkara ini. Memang ramai yang nak kami bersama. Bagi saya, itu adalah penerimaan dan maklum balas peminat. Secara peribadi, saya okey dan tak ada masalah.

"Lagi pula dalam drama ini, kami sudah buat sehabis baik supaya penonton juga jatuh cinta dengan watak kami. Jadi, kalau peminat mengusik, saya okey saja. Sejujurnya, saya selesa bekerja dengan Shasha. Soal perasaan, biarlah penonton faham ia seperti dalam skrip saja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Naim juga terbabit dalam program Panggung Karoot untuk tayangan Astro yang turut membabitkan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Azar Azmi, Eby Yus dan Sabri Yunus.

Selain itu, Naim juga bakal muncul dengan single Lara nyanyian trio bersama Hael Husaini dan Haqiem Rusli yang bakal dilancarkan pada 6 November ini.

Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 6:00am
d