utama

Jaja elak kontroversi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGANJURAN Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) berjaya melahirkan banyak bakat baharu dalam industri lakonan tanah air antaranya Jaja Iliyes.

Jaja, 25, atau nama sebenarnya Siti Hajar Iliyes yang berasal dari Segamat, Johor, bersyukur kerana percubaan menyertai DFKL berjaya meletakkan namanya sebagai anak seni.

"Saya cuba nasib menyertai DFKL 2016 dan berjaya tersenarai sebagai calon Top 6. Bermula daripada situ, saya ditawarkan berlakon drama 7 Hari Mencintaiku musim pertama.

"Tak sangka, drama ini dapat sambutan hangat penonton sekali gus buat saya dikenali dalam tempoh yang agak pantas.

"Pelbagai tawaran berlakon saya dapat selepas itu, antaranya Meh Sandar Pada Aku. Kedua-dua drama ini banyak menyumbang kepada populariti saya apabila menang anugerah dalam DFKL 2017," katanya yang sekali lagi membintangi 7 Hari Mencintaiku musim kedua yang ditayangkan baru-baru ini.

Bekas graduan Diploma Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini berkata, kemenangan yang diraihnya adalah hasil kerja berpasukan.

"Syukur kerana walaupun baharu pertama kali berlakon, saya dapat bekerja dengan satu pasukan yang bagus dan secara tak langsung tempiasnya kena pada saya.

"Sudah pasti saya berikan lakonan terbaik menerusi pelbagai drama lain selepas itu antaranya sebagai tomboi dalam Papa Nak Menantu dan isteri yang gemuk dalam Isteriku 120 Kilogram.

"Saya sedia terima apa sahaja watak yang ditawarkan, tapi sebelum itu saya akan tengok juga skripnya dan kesan daripada lakonan ini kepada penonton," katanya.

Barangkali juga, masih ada peminat yang tidak mengenalinya berbanding pelakon baharu lain.

Bagaimanapun Jaja menganggap ia bukanlah satu isu besar terhadap kariernya dan tidak mahu dikenali kerana kontroversi.

"Seboleh mungkin, saya akan cuba elak daripada terbabit dalam sebarang kontroversi semata-mata untuk popular.

"Biarlah orang kenal saya menerusi lakonan bermutu yang ditampilkan.

"Lagipun saya tak nak malukan tempat saya belajar dan keluarga dengan kontroversi, hanya semata-mata nak dikenali ramai," katanya.

Takut dengar namaWan Maimunah

Jaja bakal tampil dengan filem berjudul Petaka arahan Azhari Zain yang akan disiarkan di Astro First pada Disember ini.

Filem terbitan Arie Zaharie Production Sdn Bhd dengan kerjasama AA Success Pictures Sdn Bhd ini menggandingkannya dengan beberapa pelakon lain seperti Azman Ahmad, Nabila Huda, Wan Maimunah, PU Azman dan Coki.

Bagaimanapun, Jaja mengakui dia takut apabila mendengar akan digandingkan dengan Wan Maimunah yang dikenali sebagai pelakon hebat.

"Ibu, pada saya seorang pelakon air mata yang hebat dan kenalah berikan lakonan yang tak buat saya tenggelam. Oleh itu, ia menyebabkan saya amat takut.

"Namun perasaan ini bertukar apabila berjumpanya di lokasi. Ibu pun tak biarkan saya terkapai-kapai begitu sahaja.

"Banyak ilmu yang diberikan oleh ibu dan ibaratnya seperti pembelajaran kepada anak sendiri," katanya.

Jaja melakonkan watak Syikin, manakala Wan Maimunah pula sebagai ibunya.

"Saya respek dengan ibu kerana pengalamannya dalam lakonan. Ibu adalah seorang ibu sebenar," katanya.

Filem Petaka dihasilkan berdasarkan kisah benar yang mengetengahkan mengenai konflik kekeluargaan

Ia berkisarkan kemiskinan keluarga Sham (lakonan Azman Ahmad) selepas kematian ayahnya.

Ibunya (Wan Maimunah) pula menderita sakit kaki, manakala adiknya iaitu Syikin (Jaja Iliyes) pula tidak dapat menyambung pelajaran.

Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 6:00am
d