utama

Abah Sarna sudah ceraikan Noni...

Oleh Agensi

Jakarta: Hubungan pasangan sensasi, Abah Sarna dan isterinya, Noni Navita akhirnya terlerai apabila berpisah selepas 22 hari berkahwin.

Tribun News melaporkan, perpisahan itu berlaku selepas Abah Sarna, 78 menjatuhkan talak dengan menghantar surat kepada Noni, 17 pada Jumaat lalu.

Kakak Noni, Iyan, 29 berkata, keluarganya terkejut selepas mengetahui perkara berkenaan kerana ia berlaku dengan tiba-tiba tanpa ada tanda keretakan rumah tangga dalam hubungan adiknya dan Abah Sarna.

Malah, Iyan memaklumkan Abah Sarna sebenarnya enggan berpisah walaupun sudah menghantar surat cerai kepada adiknya.

"Memang terkejut kerana tiada angin dan ribut, tiba-tiba jadi hal seperti ini.

"Keluarga kami tidak mempunyai masalah dengan Abah Sarna.

"Namun, masalah itu datang daripada Abah Sarna dan keluarganya yang seolah-olah membantah perkahwinan itu," katanya.

Iyan menyifatkan tindakan dilakukan seperti merendahkan maruah keluarganya.

Katanya, apa yang berlaku juga menyebabkan Noni murung.

"Selepas menerima surat itu, adik saya tidak berselera makan selama sehari.

" Namun, keadaannya kini semakin baik berbanding tempoh hari," katanya.

Iya turut menafikan dakwaan yang mengatakan perpisahan itu berlaku disebabkan Noni hamil, sebelum mendirikan rumah tangga dengan Abah Sarna.

" Dakwaan itu tidak benar sama sekali dan kedua-dua pihak perlu bertemu untuk membincangkan perkara ini kerana jika tidak, masalah tidak akan selesai," katanya.

Terdahulu, perkahwinan antara Abah Sarna dan Noni di Subang ,Jawa Barat, Indonesia mendapat perhatian warganet di laman sosial kerana perbezaan usia mereka.

Hantaran diberikan Abah Sarna kepada Noni iaitu sebuah motosikal Honda PCX, tilam dan almari juga menarik perhatian ramai dan tular di media sosial kerana terpaksa diangkut dengan lori ketika majlis perkahwinan mereka.

Abah Sarna dilaporkan memberi mas kahwin termasuk wang 10 juta rupiah (kira-kira RM2,819).

Berita berkaitan:

  • Suami 71 isteri 18
  • Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 1:19pm
    d