utama

Curi, dandan 29 mayat seperti boneka

Oleh Agensi

Moscow: Seorang lelaki di Rusia tidak mahu memohon maaf atas perbuatannya yang mencuri 29 mayat budak perempuan, sebelum memakaikan baju kasut dan menyolek jasad berkenaan.

Anatoly Moskvin, 59, yang juga ahli sejarah menyatakan sedemikian ketika prosiding kesnya di sebuah mahkamah di negara itu.

Daily Star melaporkan Moskvin mendakwa bahawa perbuatannya itu bukan satu kesalahan.

Beliau sebaliknya memberi alasan bahawa keluarga mangsa tidak berhak ke atas anak mereka yang sudah meninggal dunia.

Apa yang paling mengejutkan Moskvin langsung tidak menyesali perbuatannya itu.

"Saya tidak mengenali budak perempuan terbabit tetapi beranggapan mereka tidak mempunyai keluarga.

"Lagipun, keluarga mereka sudah mengebumikan mayat anak mereka.

"Itu bermakna hubungan mereka sudah berakhir dan mereka tiada hak lagi ke atasnya...jadi saya enggan memohon maaf," katanya.

Dalam pada itu, Moskvin turut memohon kepada mahkamah supaya dia dibebaskan dari hospital psikiatri untuk menjaga ibunya yang sudah berusia.

Rayuan itu dibuat dengan alasan penyakit skizofrenia dihidapinya sudah pulih.

Moskvin sebelum ini pernah menggemparkan Rusia kerana mencuri 29 mayat budak perempuan.

Sebelum ditangkap pada 2011, dia memakaikan baju, stoking dan kasut pada mayat yang dicurinya supaya kelihatan seperti anak patung,

Malah, dia turut menyolek muka mangsa yang berusia tiga hingga 12 tahun.

Moskvin juga memasukkan kotak muzik dalam badan mayat itu dan menandakan tarikh lahir pada kanak-kanak berkenaan.

Selain itu, lelaki itu akan menyambut ulang tahun kanak-kanak itu dengan mengadakan parti di bilik tidurnya.

Ketika disoal siasat, Moskvin berkata kepada polis supaya tidak menanam mayat gadis terlalu dalam kerana dia mahu menggalinya semula apabila dia dibebaskan kelak.

Moskvin juga memberitahu ibu bapa mangsa, dia mengambil mayat kanak-kanak itu kerana mereka 'meninggalkannya kesejukan di dalam tanah.'

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 6:30am
d