utama

Mayat mangsa ditemui dalam kolah air

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Mayat semua mangsa yang maut dalam kebakaran lima rumah di Lorong Mokhtar, Kampung Delek Kanan, di sini pagi tadi ditemui di dalam dan berhampiran bilik air.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, semua mayat mangsa yang sudah dikenal pasti itu dikeluarkan 8 pagi tadi.

"Bomba mendapati mangsa semua bersembunyi di bilik air. Mayat mangsa di rumah pertama sempurna, di rumah kedua, satu rentung 80 peratus dan tiga lagi terbakar 30 peratus.

"Siasatan awal mendapati pintu dapur, laluan keluar itu terkunci. Kemungkinan mereka panik tidak dapat cari kunci, menyebabkan mereka tidak boleh keluar dan berkumpul dalam bilik air dengan harapan boleh menyelamatkan mereka.

"Mangsa rumah pertama ditemui duduk dalam kolah air dipercayai untuk menyejukkan badan dan rumah kedua, tiga dewasa dalam tandas, satu di luar pintu tandas iaitu kanak-kanak yang rentung 80 peratus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Norazam berkata, mangsa rumah pertama adalah seorang lelaki warga Kemboja, Ubaidilah Ayob, 48.

"Rumah kedua dihuni suami isteri, iaitu Fauzi Daut, 44 (warga tempatan) dan isteri, Sarimah Yusuf, 37 (warga Kemboja). Mereka berniaga pakaian terpakai (bundle) di rumah itu.

"Di rumah kedua, juga ada kakak kepada Fauzi, Fauziah Daut, 50, yang baru sehari tiba dari Terengganu serta Mohd Amirudin Ali, 12, anak saudara pasangan terbabit. Ibu bapa kanak-kanak itu dimaklumkan keluar bekerja dan menumpangkan anak di rumah pasangan terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, siasatan mendapati panggilan yang dibuat agak lewat namun kepantasan anggota bomba dapat mengawal api dari merebak.

"Saksi maklumkan, rumah pertama dan kedua terbakar besar, kita percaya panggilan dibuat agak lambat.

"Sebaik tiba, api sudah merebak ke lima-lima unit rumah dan kami dimaklumkan ada mangsa terperangkap, jadi anggota cuba untuk masuk menyelamat tetapi api sedang marak.

"Saksi memberitahu bomba, kebakaran mungkin berlaku pada 3.40 pagi. Mereka dengar ada bunyi letupan dan memanggil penghuni rumah ketiga, keempat dan kelima kerana ketika itu api marak di rumah pertama dan kedua malah tiada kedengaran suara mangsa meminta tolong.

"Saksi membantu mengeluarkan lapan penghuni dari rumah ketiga hingga kelima terdiri daripada warganegara Kemboja dipercayai sudah lama bermastautin di sini," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati rumah sewa yang dihuni mereka sejak 1994 itu dibina tanpa merujuk pihak berwajib dan tiada ciri-ciri keselamatan malah tiada dinding pemisah di antara rumah ke rumah.

"Kemungkinan kebakaran mudah merebak kerana tiada penghalang api dan juga asap.

"Bunyi letupan yang didengar itu kami sedang siasat sama ada daripada gas memasak atau lain-lain peralatan elektrik sebab kita dapat tahu, rumah pertama berniaga makanan, dimaklumkan ada ketuhar.

"Mungkin peralatan ini juga boleh meletup, kita syaki berdasarkan maklumat yang diberikan oleh saksi," katanya.

Katanya, semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses bedah siasat.

Norazam berkata, 30 anggota termasuk pegawai kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Andalas, Pelabuhan Klang serta dari Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor terbabit dalam operasi itu.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 12:53pm
d