utama

Nyanyian banduan Kluster Tembok iringi langkah 'frontliners' [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pasukan petugas barisan hadapan (frontliners) meninggalkan Penjara Alor Setar, Kedah diiringi nyanyian syahdu banduan penjara meruntun jiwa netizen.

Video berdurasi 59 saat itu dimuatnaik menerusi aplikasi Tik Tok dan mula tular di media sosial hari ini.

Rata-rata netizen sayu dan pilu dengan penghormatan diberikan banduan Kluster Tembok itu kepada pasukan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lagu dendangan penyanyi asal, Harry Khalifah berjudul Doa Wira Negara itu sebagai penghargaan buat pasukan barisan hadapan sebaik Kluster Tembok diisytihar tamat oleh KKM.

Penjara berkenaan mempunyai kira-kira 1,800 penghuni sebelum ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran bermula 6 Oktober lalu selepas berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan penjara berkenaan.

Wakil pasukan barisan hadapan KKM menerusi hantaran di Facebooknya mengakui memori dan kenangan di penjara berkenaan tidak akan dilupakan buat selamanya.

"Alhamdulillah, berakhirnya bertugas di sini, penutupan LRCC Penjara Alor Setar.

"Segala kenangan dan memori takkan dilupakan sampai bila-bila.

"Frontliners (barisan hadapan) Kluster Tembok keluar dari Penjara Alor Setar diiringi nyanyian banduan.

"Biarkan mereka banduan, mereka sangat menghormati kami, memberi kerjasama yang sangat baik sepanjang berada di sana," tulisnya.

Beliau turut mendoakan semua banduan terbabit sihat sejahtera dan menggunakan peluang kedua untuk membina semula keyakinan dan kembali hidup bermasyarakat dengan komuniti sekeliling.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 8:54pm
    d