utama

Muzik inspirasi untuk berubah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

TRANSISI alam remaja bukan sesuatu yang mudah kerana ia membabitkan emosi setiap individu yang melaluinya.

Dalam proses itu juga, tentunya akan berlakulah perubahan yang mampu mematangkan diri seseorang.

Bagi penyanyi dan pelakon, Shalma Eliana, dia juga tidak terlepas daripada melalui fasa yang menurutnya, sangat mencabar emosinya sebagai remaja.

Melangkah ke usia 20 tahun, dia yang mesra disapa Yana kini terbuka untuk berkongsi kisah di sebalik transisi zaman remajanya yang penuh dengan sisi gelap.

"Mungkin ramai yang tak tahu, saya pernah lalui satu fasa di mana pelbagai emosi seperti mengawal diri saya. Saya lebih suka menyendiri dan tidak gemar untuk keluar berjumpa dengan sesiapa," katanya.

Membuka cerita mengenai rahsia kehidupan zaman remajanya, Yana yang juga pelakon drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta itu berkata, sikapnya dahulu pernah membuatkan keluarganya risau.

"Saya lalui banyak isu berkaitan mental ketika dalam usia belasan tahun. Lebih parah, dengan keluarga sendiri pun saya tak banyak bercerita kerana saya jenis yang suka memendam perasaan. Pada satu tahap, mereka pun risau dengan keadaan saya dan saya pernah melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya kepada diri saya sendiri. Bayangkan, saya tak mahu berjumpa dengan orang sampaikan saya sanggup ponteng sekolah dan duduk di rumah," katanya.

Namun, seiring beredarnya waktu, timbul satu rasa untuk berubah dan mengubah sikapnya.

"Benda yang menjadi titik-tolak untuk saya berubah adalah diri saya sendiri. Satu hari, saya rasa seperti sudah tiba masanya untuk saya berubah. Sampai bila saya nak menyendiri? Dulu, kalau ada masalah, saya akan gelisah (anxiety) dan tak dapat nak mengawal diri. Sekarang, alhamdulillah saya dah boleh kawal dan semuanya adalah dalam minda saya," katanya.

Satu lagi perkara yang membantunya untuk keluar dari kepompong yang menjadi persembunyiannya adalah muzik.

"Muzik banyak mengubah saya dan membentuk diri saya seperti hari ini. Dengan muzik, saya keluar dan berjumpa dengan ramai orang. Antara yang menjadi penyuntik semangat buat saya adalah, Yonnyboii. Pada awalnya, saya rasa segan-segan juga. Tapi lama kelamaan, kami jadi rapat," katanya.

Berkongsi mengenai apa yang berlaku dalam kehidupannya sebagai remaja, Yana kini hadir dengan single baharu berjudul Aroma.

"Mesej yang saya sampaikan menerusi Aroma juga sama seperti apa yang saya lalui. Saya nak beritahu semua yang mendengar lagu ini, sekiranya mereka alami perkara sama seperti saya pernah lalui, mereka tak bersendirian. Satu lagi yang ingin saya tunjukkan menerusi Aroma adalah sisi kematangan seorang Shalma Eliana berbanding lagu-lagu saya sebelum ini," katanya.

Dihasilkan komposer, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat, Aroma juga menampilkan 'vibe' berbeza berbanding dua single terdahulu Yana.

"Single pertama saya adalah Janji Terindah yang lebih kepada lagu-lagu kemanisan cinta. Single kedua adalah Mahukah Kamu yang mengetengahkan genre Pop R&B. Jadi, kali ini, Aroma lebih banyak bermain dengan emosi dan vokal saya," katanya.

Berkongsi mengenai kisah cintanya dengan penyanyi Ismail Izzani, Yana juga berdepan situasi di mana dia dianggap sebagai menumpang populariti Ismail.

"Ketika baru-baru bercinta pun, ibu bapa ada menasihati saya mengenai perkara ini. Tapi, pada saya, gelaran sebagai kekasih kepada Ismail itu sebagai tanggungjawab saya. Jadi, pada masa sama saya juga perlulah memperbaiki diri saya terutama dari segi karier dan saya yakin, perlahan-lahan orang akan kenal siapa saya sebagai anak seni," katanya.

Yang pasti, Yana mengharapkan agar kehadiran single ketiganya ini akan diterima baik oleh peminat dan penggemar muzik tanah air.

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 6:00am
d