utama

Sentuhan magis Hael

Oleh Sudirman Mohd Tahir

GRAF seni komposer dan penyanyi terkenal, Hael Husaini terus meningkat selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) menerusi lagu Jampi.

Malah, pada edisi berikutnya Hael, 33, sekali lagi muncul juara menerusi lagu Haram duet bersama Dayang Nurfaizah.

Kemudian, edisi AJL 34, karya Hael bersama Ezra Kong mendapat tempat ketiga menerusi lagu Anta Permana nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dinyanyikan Bob Yusof.

Dari setahun ke setahun, populariti Hael tidak boleh disangkal lagi bukan saja sebagai penyanyi, tapi juga komposer.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan dia antara komposer yang menjadi rebutan kebanyakan penyanyi.

Tahun ini menerusi Separuh Akhir Muzik Muzik 35, Hael unggul dengan empat lagu iaitu Antaranya Hati ciptaan bersama Ezra Kong, Canggung nyanyian Wany Hasrita dan Belenggu Rindu duet Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah juga ciptaan bersama Ezra serta Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali hasil ciptaan bersama MFMF.

"Alhamdulillah, apa sahaja pencapaian yang diterima saya akan raikan. Sempena dengan kelayakan ini, saya ingin berterima kasih kepada rakan penyanyi dan peminat mereka yang menaikkan lagu berkenaan ke tahap ini. Juga penghargaan istimewa buat rakan komposer iaitu Ezra Kong dan MFMF.

"Jujur, kalau boleh saya mahu semua ke AJL. Bagaimanapun, ia terpulang kepada penyanyi itu sendiri untuk melengkapkan markah berdasarkan persembahan mereka pada malam separuh akhir nanti. Jika mereka mahu ke peringkat seterusnya, mereka perlu bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik," katanya.

Dalam masa sama, Hael berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan 'tekanan' yang diberikan peminat yang mahu karya dihasilkan layak ke AJL dan seterusnya menang.

"Sebagai penyanyi saya tidak terlalu memikirkan mengenai perkara ini. Namun, jika kapasiti sebagai pencipta lagu pula saya memang sentiasa mengharapkan lagu atau karya ciptaan saya dan rakan pencipta akan mendapat penghargaan terutama sekali untuk pertandingan yang 100 peratus membabitkan penjurian profesional.

"Kepuasan untuk anugerah seperti AJL ini sangat berbeza. Saya secara peribadi mengakui menginginkan karya saya membolos senarai 12 lagu terbaik ke AJL. Jadi harapan orang ramai tidak memberi tekanan, tetapi lebih kepada memberi motivasi untuk kita menghasilkan karya yang indah," katanya.

Trio bersama Naim Daniel dan Haqiem Rusli

Jika awal tahun ini Hael muncul dengan single duet bersama penyanyi Indonesia, Cakra Khan iaitu Terlanjur Cinta, terbaharu Hael muncul secara trio menerusi lagu Lara nyanyian bersama Naim Daniel dan Haqiem Rusli.

Lagu yang mendapat sentuhan ketiga-ketiga penyanyi itu bersama MFMF dilancarkan secara rasmi kelmarin.

"Lara adalah karya yang membawa maksud atau lirik yang sangat jelas mengenai perasaan yang remuk akibat dikecewakan seseorang. Namun pendengar bebas untuk meletakkan interpretasi masing-masing berdasarkan pengalaman mereka.

"Idea untuk bekerjasama ini bermula dengan borak kosong. Kami bertiga selalu terbabit dalam program atau acara sama. Selalu apabila bertemu memang kami akan berbicara mengenai perancangan mendatang karier muzik masing-masing. Jadi kami selalu berangan untuk bekerjasama sesama sendiri jika ada peluang.

"Ketika dalam proses menghasilkan lagu ini bersama MFMF, saya terfikir untuk mengajak Naim dan Haqiem untuk terbabit projek ini dan mereka berdua terus bersetuju. Jadi untuk lagu ini selain saya dan MFMF, ia turut mendapat sentuhan Naim dan Haqiem sendiri sebagai penulis bukan sahaja sebagai penyanyi," katanya.

Walaupun bertiga, Hael berkata, tidak sukar untuk mereka menyesuaikan vokal masing-masing.

"Kami bertiga memiliki karakter dan kemampuan suara yang berbeza. Jadi tidak sukar untuk kami melakukan pembahagian suara untuk lagu ini," katanya.

Berkongsi mengenai perancangan menghasilkan album, Hael menjelaskan terpaksa menangguhkan perkara itu disebabkan keadaan semasa negara ketika ini.

"Album saya mungkin akan mengalami penangguhan berikutan keadaan semasa yang tidak menentu. Pergerakan saya dan rakan kerja agak terbatas untuk projek ini. Kami tidak mahu penghasilan yang asal boleh. Jadi kami akan menangguh dulu beberapa perkara buat masa ini termasuk lagu terbaharu saya untuk pasaran Indonesia.

"Projek lain pula, saya bakal bekerjasama dengan syarikat produksi animasi terkenal untuk beberapa projek khas. Jika semuanya sudah pasti, saya akan kongsikan dengan lebih jelas nanti," katanya.

Ditanya kesediaannya mencuba bidang lakonan ekoran persembahan pentas belum dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Hael mengakui belum bersedia.

"Tidak dinafikan saya juga terjejas teruk dari segi tidak dapat melakukan persembahan akibat situasi semasa yang melanda dunia. Namun saya bersyukur kerana masih ada kerja yang saya dapat lakukan seperti menulis lagu untuk penyanyi lain, melakukan kempen untuk produk di laman sosial dan iklan komersial.

"Saya masih tidak terfikir untuk mencuba bidang lakonan kerana ia sangat sukar bagi saya. Saya ada masalah untuk menghafal walaupun teks yang ringkas jadi agak mustahil untuk saya menghafal skrip yang panjang ketika berlakon. Insya-Allah kalau dah betul-betul bersedia saya akan cuba," katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 6:00am
d