utama

Dua mangsa terperangkap tanah runtuh ditemui maut [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Dua individu yang terperangkap dalam tanah runtuh di The Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun di sini, ditemui meninggal dunia di bilik jakuzi resort itu.

Pemangku Ketua Polis Perak, Goh Boon Keng berkata, mangsa adalah lelaki dan wanita berusia 30-an ditemui pada 9.55 pagi.

Katanya, pihaknya sebelum itu menerima laporan kejadian pada 2.15 pagi.

"Villa ini sememangnya mempunyai jakuzi tersendiri di dalam bilik dan bilik jakuzi berasingan dengan bilik air.

"Kedua-dua mangsa ditemui duduk berdekatan, selang lima minit. Mereka disahkan maut di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Goh berkata, tanah runtuh disedari pekerja pada kira-kira 1 pagi dan difahamkan ketika kejadian terdapat empat bilik sahaja yang berpenghuni.

"Pekerja kemudian meminta semua tetamu resort agar mengosongkan bilik dan mendapati dua mangsa tiada yang berkemungkinan berada di dalam bilik jakuzi serta tidak dapat dihubungi," katanya.

Menurutnya, pekerja itu masuk ke dalam villa berkenaan dengan memanjat tembok sebelum mendapati bilik jakuzi sudah tertimbus dengan tanah.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa dihentikan beberapa kali susulan berlaku gelongsoran tanah, sebelum mangsa ditemui dan SAR ditamatkan pada 7 pagi.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Difahamkan mangsa maut adalah Ooi Chee Wei, 39 and Lee Tze Jun, 32.

Berita berkaitan

2 terperangkap tanah runtuh di Banjaran Hot Spring

Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 10:57am
d