utama

Covid-19: 1,208 kes baharu, tiga kematian

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sebanyak 1,208 kes positif baharu jangkitan Covid-19 dan tiga kematian termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dilaporkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu 47,417 kes manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 12,323 kes.

Menurutnya, Sabah mencatatkan 381 kes daripada keseluruhan kes manakala Lembah Klang mencatatkan 661 kes iaitu Kuala Lumpur dengan 475 kes dan Selangor sebanyak 185 kes.

Katanya, Negeri Sembilan (48), Perak (21), Pulau Pinang (42), Labuan (30), Johor (9), Kedah (8), Sarawak (4), Melaka (2), Kelantan dan Perlis masing-masing satu kes.

"Sebanyak tujuh kes dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara membabitkan Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Penjara Sandakan dan Kluster Penjara Kepayan.

"Daripada jumlah kes baharu hari ini, terdapat enam kes import membabitkan bukan warganegara yang tiba dari India, Bangladesh, Nepal dan Indonesia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,013 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 34,785 kes atau 73.4 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, terdapat 104 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, tiga kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kebangsaan setakat 12 tengah hari, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian bertambah kepada 309 kes.

"Kes kematian ke-307 (kes ke-45,459) membabitkan kanak-kanak berusia lapan tahun yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawau.

"Kes kematian ke-308 (kes ke-32,143) membabitkan lelaki berusia 77 tahun yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sabah. Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, jantung dan buah pinggang.

"Kes kematian ke-309 (kes ke-45,486) membabitkan wanita berusia 63 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 6:46pm
    d