utama

Trump berhasrat serang Iran?

Oleh Agensi

Washington: Presiden Donald Trump, minggu lalu, dilaporkan mendapatkan pandangan penasihat kanan keselamatan mengenai kemungkinan untuk melancarkan serangan kepada tapak nuklear utama di Iran.

CNN yang memetik laporan The New York Times melaporkan bahawa ia dibuat oleh Trump pada satu mesyuarat dihadiri oleh empat pegawai kanan di Rumah Putih, pada Khamis.

Ia sehari selepas laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bahawa stok uranium di Iran sudah mencecah 12 kali ganda daripada had 300 kilogram.

Ia melebihi jumlah ditetapkan oleh Pelan Tindakan Komprehensif Bersama ditandatangani oleh Amerika Syarikat (AS) dan lima negara lain pada 2015.

Di bawah pentadbiran Trump, AS mengundur diri daripada perjanjian itu pada 2018.

Menurut New York Times, Trump bertanyakan mengenai pilihan AS dan bagaimana untuk menangani perkembangan isu berkenaan.

Bagaimanapun, akhbar itu yang memetik sumber pegawai kerajaan berkata, Naib Presiden Mike Pence; Setiausaha Negara, Mike Pompeo, pemangku Setiausaha Pertahanan Christopher Miller dan Ketua Turus Bersama, Jeneral Mark Milley dilaporkan meyakinan Presiden untuk tidak menyerang Iran.

Mereka mengingatkan bahawa serangan itu hanya akan menimbulkan konfrontasi besar-besaran pada minggu-minggu terakhir penggal Trump sebagai Presiden.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 11:57am
d