utama

Nasi Lemak Bujang Dekk's Mat bukti kecekalan insan istimewa [METROTV]

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Untung hanya dapat 50 sen sebungkus, kadang-kala pulang dengan keuntungan RM5 saja walaupun berniaga dari pagi hingga tengah hari.

Demikian kecekalan dimiliki Mohamad Nor Abdullah, 28, yang dilahirkan tanpa tangan dengan mencari rezeki berniaga nasi lemak yang diberi nama Nasi Lemak Bujang Dekk's Mat.

Menurutnya, dia membuka gerainya itu pada 7 pagi sehingga 11 pagi di Amber Busssines Plaza Cheras sejak Julai lalu sambil dibantu sahabatnya, Tengku Mahadir Tengku Mamat, 40.

"Saya tidak mahu mengharapkan elaun bulanan yang diterima sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) saja.

"Walaupun orang kurang upaya (OKU), saya nekad mahu berniaga untuk cari pendapatan tambahan dan mendaftarkan perniagaan ini di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, nasi lemak itu dibeli daripada seorang kenalan di Bukit Jalil pada harga RM1 sebungkus dan menjualnya dengan harga RM1.50.

"Abang dan rakan-rakan sebilik banyak tolong dan beri sokongan pada saya untuk berniaga.

"Sebelum ini, saya mengambil upah menjaga kedai bundle rakan dan menjual baju secara dalam talian.

"Menerusi hasil jualan nasi lemak ini dapatlah saya membantu orang yang lebih memerlukan dan memberi sumbangan kepada anak yatim," katanya.

Mohamad Nor berkata, idea nama gerai Nasi Lemak Bujang Dekk's Mat itu diilhamkan daripada Nasi Lemak Janda yang pernah tular sebelum ini.

Katanya, dia juga tidak menyangka gerainya juga tular sejak akhir-akhir ini selepas mempromosikannya di Facebook miliknya dan bersyukur hasil jualan semakin meningkat.

"Sebelum ini, saya hanya beli 20 bungkus untuk dijual tetapi hanya 10 bungkus saja terjual selepas lima jam menunggu.

"Alhamdulillah, hari ini saja saya dapat jual 170 bungkus dan esok pulak dapat tempahan sehingga 550 bungkus," katanya yang tinggal di lokasi sekitar Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cheras.

Sementara itu, abangnya, Muhammad Harmarizal Abdullah, 30, berkata, dia gembira dengan sambutan orang ramai di gerai adiknya itu.

"Adik saya memang suka berdikari, malah lebih banyak memberi daripada meminta-minta.

"Walaupun tidak sempurna seperti orang lain tetapi dia tetap suka menolong orang.

"Pernah satu ketika, dia hanya ada RM10 saja di dompetnya tetapi dia tetap memberi sedekah," katanya.

Menurutnya, Mohamad Nor tidak pernah sekali pun menjadi beban kepadanya, malah adiknya itulah pembawa rezeki baginya.

"Bagi saya dia tidak pernah menyusahkan saya, dia lagi banyak membawa rezeki kepada saya.

"Bila saya bagi duit dekat dia, dalam masa singkat saja rezeki lain pula yang datang.

"Dia juga memang sangat pemurah sehingga sanggup melanggan penapis air setiap bulan untuk kegunaan rakan-rakan di kediamannya," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 8:00pm
d