utama

Seorang berbohong, satu negeri 'lockdown'

Oleh Agensi

Adelaide: Hanya kerana seorang individu berbohong, seluruh negeri Australia Selatan terpaksa dikenakan sekatan pergerakan (lockdown), mulai Rabu lalu.

Bagaimanapun, selepas mendapat tahu cerita sebenar, pihak berkuasa dijangka menamatkan perintah berkenaan lebih awal berbanding tempoh asal iaitu enam hari.

Media tempatan, sebelum ini, melaporkan negeri berkenaan dikenakan 'lockdown' selepas terdapat satu kluster dengan 22 kes Covid-19 dikesan di negeri itu yang juga kes pertama sejak April lalu.

Bagaimanapun, CNN melaporkan pihak berkuasa kemudian mendapati bahawa seorang pekerja premis menjual piza berbohong mengenai aktiviti pekerjaannya kepada pasukan pengesanan kontak.

Komisioner Polis Australian Selatan berkata, individu berkenaan pada awalnya mendakwa dia hanya berada di Woodville Pizza Bar, Adelaide untuk tempoh singkat bagi mengambil makanan yang dipesan untuk dibawa pulang.

Bagaimanapun, dia sebenarnya adalah pekerja yang bertugas mengikut syif normal di premis berkenaan.

Berdasarkan kepada maklumat awal itu, pihak berkuasa merumuskan bahawa strain Covid-19 berkenaan mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi dengan mengambil kira bahawa individu itu berada di premis terbabit untuk tempoh yang begitu singkat.

Ia menyebabkan pihak berkuasa kemudian memutuskan untuk melaksanakan lockdown berkenaan.

"Pasukan pengesan kontak kemudian mendapati individu itu berbohong," katanya.

Mulai tengah malam Sabtu, perintah duduk di rumah di Australia Selatan sudah ditarik balik dan penduduknya dibenarkan melakukan aktiviti bersenam di luar rumah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mempertahankan pengumuman lockdown sebelum ini kerana ia dibuat berdasarkan maklumat semasa.

Difahamkan, individu yang berbohong itu tidak dikenakan denda atau penalti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 11:30am
    d