utama

Hebatnya Sophie [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Petaling Jaya: Usianya baru lima tahun namun keberanian Sophie Arissa Mohamad Naim setanding orang dewasa kerana langsung tidak kekok menunggang motosikal lasak (motocross) biarpun di trek berliku.

Sebaliknya, Sophie atau mesra disapa Jelita kelihatan seperti pemain profesional yang sudah lama menceburi sukan itu.

Bapanya, Mohamad Naim Isa, 36 yang menetap di Taman Tenaga, Cheras berkata, anak sulungnya itu menceburi sukan lasak berkenaan sejak awal Mac lalu iaitu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertitik tolak daripada itu, aktiviti berkenaan sudah menjadi hobi dan rutin Sophie pada hujung minggu.

"Sophie bermain 'push bike' sejak berumur dua tahun lagi namun saya yang memberi pendedahan kepadanya mengenai sukan motocross.

"Mulanya saya beri (Sophie) peluang menunggang motosikal elektrik tetapi kosnya agak tinggi jadi saya bawa dia ke trek untuk bermain motocross pula.

"Mulanya dia nampak takut kerana motosikal itu menggunakan enjin tetapi saya terus berikan sokongan dan lama kelamaan dia jadi yakin dan selesa menunggangnya," katanya ketika ditemui di Most Fun Gym (MFG) iaitu trek sukan motocross di Kampung Sungai Penchala, Damansara, di sini.

Demi mengasah lagi bakat Sophie, Mohamad Naim sanggup mengumpul wang bagi membelikan anaknya itu motosikal lasak mini berkapasiti 50cc.

Katanya, sejak itu, Sophie jadi lebih bersemangat untuk melakukan hobinya itu.

Lazimnya, Mohamad Naim hanya membawa anaknya itu ke trek di Ukay Perdana, Ampang atau Damansara, Petaling Jaya pada hujung minggu saja.

"Sebenarnya, saya beli motosikal itu tanpa pengetahuan isteri dan dia hanya tahu selepas ia ada.

"Isteri saya tidak menghalang sebaliknya turut sama menyokong minat Sophie bermain sukan lasak walaupun anak kami itu perempuan.

"Namun, saya tidak mengambil mudah sebaliknya akan memastikan Sophie dipakaikan dengan alat perlindungan diri kerana keselamatan sentiasa menjadi keutamaan memandangkan usianya masih kecil jadi perlu sentiasa dipantau," katanya.

Mohamad Naim berkata, Sophie pernah mengalami kecederaan hingga dimasukkan ke sebuah hospital swasta di ibu kota untuk mendapatkan rawatan.

"Kecederaan itu berlaku apabila Sophie terlanggar tembok ketika berlatih di padang kawasan perumahan.

"Akibatnya, kulit bawah mata kanannya terkoyak kesan daripada memakai gogal yang ketat.

"Sophie menerima rawatan di hospital selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang dan insiden itu memberi pengajaran untuk saya lebih menitikberatkan aspek keselamatan," katanya.

Dia berkata, kemalangan kecil itu tidak menyebabkan Sophie serik untuk menunggang motosikal.

"Dia tidak takut sebaliknya jadi bertambah berani. Sebagai bapa, saya sokong saja kerana Sophie memang minat, bukan dipaksa walaupun ia sukan lasak dan lebih sinonim dengan lelaki

"Saya ada kongsi gambar dan videonya menunggang motosikal di Facebook (FB), Instagram (IG) dan TikTok. Kebanyakannya respon diterima adalah positif dan rata-rata warganet kagum dengan keberanian Sophie," katanya.

Sementara itu, isterinya, Nur Ain Azrina Mohd Alias, 36, tidak menjangka Sophie ada keberanian dan kebolehan menunggang motosikal lasak itu.

"Suami saya yang bersungguh mengasah kebolehan Sophie mungkin kerana selepas melihat video budak bermain motocross.

"Jujurnya gementar juga setiap kali melihatnya menunggang motosikal.

"Disebabkan itu, saya dan suami membawanya ke tempat yang sesuai selain memakaikan dia alat perlindungan diri sebelum menunggang motosikal di trek," katanya

Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 9:00pm
d