utama

Tiada masalah dikritik juri

Oleh Najiy Jefri

WALAUPUN sudah menyertai beberapa program realiti nyanyian seawal usia 11 tahun, Afieq Shazwan tidak pernah berasa malu atau bosan untuk menempatkan diri dalam mana-mana pertandingan yang dianjurkan stesen TV.

Sebaliknya jejaka berusia 23 tahun ini mengakui setiap program nyanyian yang disertai memberikan cabaran dan pembelajaran berbeza-beza.

Antara program realiti yang pernah disertai adalah Idola Kecil dan Mystarz yang berjaya membawanya ke peringkat akhir. Kemudian Afieq mengorak langkah menyertai program Big Stage musim pertama sekali gus memenangi tempat ketiga dan kehadirannya semakin kukuh.

Terbaharu Afieq tampil sebagai rookie dalam program Vokal Mania yang akan bersiaran hari ini di TV3.

"Saya anggap penyertaan dalam program realiti sebagai satu cabaran untuk saya maju ke depan. Saya seorang yang sukakan cabaran dan kelainan baharu kerana daripada situ saya dapat perbaiki diri.

"Saya akui sudah menyertai macam-macam program realiti. Ada yang berjaya, ada yang gagal dapat tempat, namun setiap ilmu yang saya dapat itu saya ingin aplikasikan untuk setiap persembahan saya.

"Menerusi Vokal Mania saya lihat banyak perkara baharu yang bakal saya timba. Walaupun pertandingan yang pernah saya sertai sebelum ini ada konsep 'battle' tapi kali ini saya akan bergabung dengan idol.

"Jadi menerusi persembahan ini nanti saya sudah bersedia untuk dibandingkan dengan idol serta bersedia dengan sebarang kecaman. Kritikan mereka akan menjadikan saya seorang penghibur yang lebih baik dan mematangkan persembahan saya kelak," katanya.

Menurut Afieq, sebagai persediaan untuk membuat persembahan di Vokal Mania, dia mengakui sudah mengikuti kelas vokal serta bersedia dengan sebarang kritikan daripada juri.

"Saya dah mula masuk kelas vokal untuk belajar teknik nyanyian dengan betul. Malah saya juga sudah bersedia untuk dikritik juri. Saya tiada masalah untuk dikritik juri sebab setiap pertandingan yang saya sertai sebelum ini semuanya perlu melalui fasa itu. Saya bersedia jika persembahan saya dikatakan tak bagus, kelihatan cacat mahupun dipuji nanti. Bagi saya setiap orang ada pandangan masing-masing.

"Cuma saya kena buat persiapan dari segi mental dan fizikal. Melihat keadaan Covid-19 yang melanda negara ketika ini, saya perlu memastikan diri saya sihat dan fokus dengan apa yang saya lakukan sekarang. Disebabkan itu, saya memang jarang keluar rumah dan membuat latihan," katanya.

Ditanya mengenai kehidupan peribadi, Afieq mengakui pintu hatinya belum terbuka untuk menerima kehadiran mana-mana wanita dalam hidupnya.

"Tipulah kalau tiada kenalan wanita sekarang ini. Saya ada ramai kawan wanita tapi saya rasa belum masa yang sesuai untuk bercinta. Mungkin belum terbuka hati untuk serius dalam percintaan. Saya tak bersedia untuk hadap sebarang kekecewaan, tangisan atau apa sahaja kemungkinan nanti.

"Saya ini seorang yang jujur dan telus, jadi saya tidak mahu apa-apa perkara berlaku dalam hubungan saya. Kalau boleh saya nak wanita yang boleh faham kerjaya saya dan tidak mudah cemburu. Kami perlu ada persefahaman yang baik," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai perkembangan terkini, Afieq baharu saja melancarkan single terbaharunya, Gerak Lu, semalam di seluruh saluran digital.

Muzik video Gerak Lu juga boleh ditonton di saluran YouTube Rasmi FMC Music.

Gerak Lu adalah lagu hasil ciptaan DJ Fuzz, Aziquebeats dan Faezal. Ia juga single kedua Afieq bergandingan bersama rapper Malik Abdullah setelah single Lelaki Di Telefon.

"Sebelum Gerak Lu, single Lelaki Di Telefon mendapat respons positif dengan tontonan hampir mencecah lapan juta di YouTube. Saya juga pernah muncul dengan dua single balada berjudul Seandainya dan Darjat. Tetapi, malangnya kedua-dua lagu ini kurang mendapat sambutan.

"Entah kenapa, mungkin rezeki saya lebih kepada lagu-lagu rancak agaknya. Bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa dan akan tetap hasilkan lagu genre balada yang dapat memikat hati peminat satu hari nanti," kata Afieq yang menampilkan kelainan dalam muzik videonya.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 6:00am
d