utama

Sentiasa usaha kekal relevan

Oleh Georgie Joseph

MENJADI pelakon wanita yang terus bertahan dalam bidang lakonan, Wan Sharmila, 39, atau mesra disapa Lala tidak pernah terputus rezeki.

Reputasi yang dibinanya begitu meyakinkan dan dijaga rapi, Lala berkata, perjalanannya sebagai anak seni adalah satu tanggungjawab penting yang berterusan dan sebagai pelakon, dia tidak boleh mengambil ringan kerjayanya.

Lala mengakui, sehingga kini dia masih menitikberatkan soal pembawaan diri walaupun sudah lebih sedekad berlakon. Dia percaya aspek itulah yang akan terus mengikat kepercayaan ramai dalam bidang itu termasuk stesen TV.

"Sedar tak sedar, sudah lebih 10 tahun saya berlakon. Alhamdulillah, stesen TV masih lagi terima walaupun kadang-kadang berehat agak lama hingga orang tanya sama ada saya masih berlakon atau tidak.

"Tapi tidak mengapa kerana yang penting sekali muncul dan naik semula, kita lebih nampak eksklusif. Kita kena sentiasa jaga diri kita. Saya selalu cakap dengan orang, kena sentiasa pandai jaga diri. Maksudnya, buat pelakon baharu, kena tahu berdepan dengan artis lebih senior," katanya.

Pelakon drama bersiri Sang Pewaris ini juga tidak menafikan bukan semua pelakon bijak dalam pembawaan diri. Dia faham dengan situasi pelakon baharu terutamanya yang tidak dapat mengikis perasaan malu dan takut.

Namun, dia berpesan supaya pelakon baharu mengatasi aspek itu jika mahu teruskan kelangsungan karier.

Menurutnya, dia juga masih berterusan mencari inisiatif untuk meletakkan namanya supaya terus relevan.

"Kadang-kadang kita kena faham, dia tak 'diva', dia malu dan takut. Tak boleh, itu bukan alasan untuk kekal bawa diri dengan baik. Saya pun begitu kerana ramai saja pelakon baharu yang cantik-cantik dan pasti stesen TV mahu. Selain pembawaan diri, kita kena berbuat sesuatulah sama ada nak buat muka untuk menaikkan nama dan kandungan bodoh, buat sajalah. Tapi, ada kesan yang baik dan buruknya juga.

"Untuk saya, perlu bijak jaga diri supaya terus diterima dan kena jaga bakat yang ada. Berlakon dengan niat untuk sampaikan bakat. Insya-Allah segala yang terbaik saya berikan. Tidak ketinggalan, bagaimana hubungan saya dengan orang sekeliling dalam setiap pekerjaan saya," katanya.

Dalam temu bual baru-baru ini, Lala juga bersyukur apabila terus mendapat kepercayaan membintangi drama di stesen TV. Projek terbaharunya iaitu drama bersiri Sang Pewaris cukup membuatkan dia teruja.

Bergandingan dengan Amyra Rosli, Ben Amir dan Datuk Fizz Fairuz adalah peluang yang sangat bermakna. Selain itu, dia juga dapat membawa watak yang berbeza dan mencabar.

"Saya sebagai Madinah yang wataknya tidak feminin. Dia kasar dan wajib pakai topi. Dia juga tak suka perempuan sangat dan banyak berkawan dengan lelaki. Dalam drama ini pun saya tidak berlakon dengan perempuan. Saya lebih banyak berlakon dengan lelaki. Bezanya, saya kena berperwatakan kasar dan saya rasa agak susah disebabkan watak saya selalu lebih ayu dan lembut. Saya baik dengan Ali lakonan Ben Amir, tapi saya lebih kasar.

"Itulah kelainannya yang menyeronokkan. Paling seronok, banyak perkara saya belajar daripada cerita ini contohnya bekerja di kandang lembu. Banyak babak saya berlaku di luar rumah dan memang mencabar juga," katanya.

Dalam pada itu, Lala juga mengharapkan sinar buat industri seni kembali bercahaya secepat yang mungkin. Tiada doa lain yang dia harap dapat dimakbulkan selain keadaan kembali normal buat semua.

Baginya, penularan Covid-19 ketika ini memang sangat menekan dan memberi kesan dalam kehidupan ramai termasuk dirinya. Justeru, untuk azam tahun depan, dia cuma meminta agar dunia kembali pulih.

"Buat masa ini, saya mengharap Covid-19 bejaya dilenyapkan kerana ia menyukarkan kita dalam menjalankan kehidupan harian. Banyak benda yang terjejas," katanya.

Berkongsi mengenai sisi peribadinya, tidak dinafikan soalan kembali berumah tangga kerap diajukan kepadanya. Ini kerana Lala yang pernah berkahwin dengan penerbit, Fazli Baharom pada 2007 dan bercerai pada 2009 kini masih belum berpunya.

Baginya, dia sentiasa meminta doa semua untuk dipertemukan jodoh yang terbaik buat dirinya. Dia pun mengakui tidak pernah menutup pintu hatinya dan sentiasa memasang angan-angan untuk berkahwin semula.

"Perancangan untuk kahwin setiap tahun ada. Tapi soal jodoh, kita cakap kita minta, kita cuma mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Tak naklah tertekan sangat untuk fikir bila nak kahwin. Apa rezeki yang Allah beri, cari rezeki dulu. Insya-Allah mana tahu tengah bekerja, terserempak pula dengan jodoh,

" katanya.

Drama Sang Pewaris mula menemui penonton sejak 26 November, setiap Rabu hingga Jumaat, jam 9 malam, menerusi slot Lestary, TV3.
Drama arahan Eyra Rahman dan ceritanya diadaptasi daripada novel judul sama tulisan Fizziany.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 6:00am
d