utama

Abang dipercayai lemas lepas selamatkan adik

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai menyelamatkan adiknya yang terjatuh di dalam parit berdekatan Taman Manis 6, Parit Raja, dekat sini, semalam.

Pada kejadian 5.17 petang itu, mangsa, Mohd Naqiuddin Adnan, 16, dipercayai lemas selepas menyelamatkan adiknya yang terjatuh di dalam parit dan membawa adiknya ke tebing parit berkenaan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, ketika kejadian, mangsa bersama lima orang lagi rakannya dipercayai sedang mandi di parit berkenaan.

"Pihak bomba kemudiannya melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari mangsa berkenaan.

"Pihak bomba menggunakan teknik 'surface searching' dari lokasi mangsa lemas ke arah arus air yang bertentangan dengan jarak lebih kurang satu kilometer (km) dan parit berkenaan mempunyai lebar hampir 10 meter (m) dan kedalaman tiga m," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan sebuah jentera dan satu kenderaan utiliti dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan," katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 9:41am
d