utama

'Dah salah bayar sajalah denda' - Bob Lokman

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman, 56, akur dengan hukuman denda RM4,000 yang dikenakan Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, kepada bapanya, Lokman Ahmad, 85, atas kesalahan dilakukan.

Terdahulu, Lokman berhadapan dua pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah dan merosakkan barangan masjid pada 21 November tahun lalu.

Hukuman denda dijatuhkan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri selepas tertuduh mengaku bersalah dan memohon maaf.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berkata, dia hanya mahu kes membabitkan bapanya itu selesai segera dan denda berkenaan akan dibayar oleh adik-beradiknya dan keluarga.

"Soal undang-undang ini tak kenal usia. Walaupun, bapa saya sudah berusia dan warga emas, tetapi bila sudah terbabit undang-undang serta dia juga mengaku bersalah, jadi kenalah bayar denda itu.

"Nak dikatakan apa lagi. Bagi saya, ia dugaan buat kami sekeluarga dan sebagai anak, saya memang tahu perangai sebenar bapa. Apapun, saya bersyukur kes ini sudah pun selesai," katanya kepada Harian Metro.

Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella nyanyian Search berkata, baginya duit untuk membayar denda itu boleh diusahakan mereka adik-beradik, namun harapan yang paling utama adalah kes itu dapat diselesaikan secara undang-undang.

Ditanya juga sejauh mana dia mengetahui kes menimpa bapanya itu, Bob berkata, dia memang tahu mengenainya tetapi pada ketika itu perlu menguruskan prosedur pembedahan jantung yang harus dijalani awal Disember, tahun lalu.

"Ketika bapa saya terbabit kes itu, saya pun tidak sihat. Malah, adik-beradik yang lain tahu saya sibuk menguruskan prosedur perubatan untuk diri sendiri. Jadi, kes bapa itu, mereka yang uruskan tanpa saya.

"Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada adik-beradik dan keluarga kerana memahami masalah kesihatan saya. Dalam soal ini, saya sangat bersyukur apabila kes perbicaraan bapa sudah berakhir, hari ini," katanya.

Mengulas perkembangan kesihatannya, Bob berkata, dia kini sudah berada di Kedah selepas mendapatkan surat kebenaran merentas negeri untuk menjalani pemeriksaan berkala ditetapkan oleh doktor.

"Pemeriksaan kali keempat dengan doktor di Hospital Sultanah Bahiyah akan saya jalani pada 21 Januari ini, namun saya datang ke Kedah dari Kelantan lebih awal, kerana perlu berehat.

"Walaupun keadaan kesihatan saya menunjukkan tahap stabil dan makin pulih, saya tetap kena dapatkan rehat yang cukup dan tidak boleh terlalu letih. Ditambah sekarang, dalam negara Covid-19 masih menular dan ada pula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Jadi, sekarang kena ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan perlulah patuh untuk keselamatan. Semoga segala ujjan Allah ini, dapat kita lalui dengan tabah," katanya.

Terdahulu, Bob selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) pada awal Disember tahun lalu dengan kos sekitar RM60,000.

Berita berkaitan

Bapa Bob Lokman didenda RM4,000 kerana mengugut, rosakkan harta masjid [METROTV]

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 8:39pm
d