utama

Harimau Malaya tak teruk

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Penganalisis sukan Malaysia, Dr Pekan Ramli berkata, ranking dunia skuad kebangsaan negara sedang meningkat dan dalam momentum yang baik, bukan menurun.

Beliau berkata demikian ekoran baru-baru ini pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang tampil dengan kenyataan terkejut dengan ranking skuad Harimau Malaya di kedudukan ke-153 dunia.

Dalam luahan menerusi akaun Facebook miliknya baru-baru ini, Norizam berkata dengan pembangunan stadium serta pelbagai akademi bola sepak, sepatutnya ranking Malaysia semakin naik dan bukan semakin menurun.

"Jika dilihat sejak 1993 ranking skuad kebangsaan sememangnya menurun tetapi sejak 2018 hingga 2021, ranking Harimau Malaya terus meningkat mendadak iaitu dari 178 kepada 153 dalam tempoh dua ke tiga tahun sahaja.

"Jadi untuk mengatakan ranking skuad kebangsaan menurun adalah tidak tepat serta tiada fakta.

"Lebih-lebih lagi berdasarkan sistem kiraan mata terbaru FIFA dalam ranking, diakui sukar untuk kita melonjak naik terus ke 100 peningkatan misalnya, itu mustahil," katanya yang juga Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi.

Dr Pekan berkata, semua pihak terutama Norizam perlu berlandaskan fakta dan realistik dengan situasi semasa.

"Buat masa ini sememangnya skuad kebangsaan tiada perlawanan disebabkan situasi tidak menentu, tetapi jika dilihat dalam tempoh 2018 hingga 2021, ranking Harimau Malaya naik ke 14 kedudukan terutama berdasarkan perlawanan Pra Kelayakan Piala Dunia.

"Dalam soal ini Norizam dinasihatkan tidak boleh cepat mengecam ranking skuad kebangsaan, jangan 'Pukul Anak, Sindir Menantu'.

"Secara realistiknya, berdasarkan peningkatan ranking ini saya melihat skuad kebangsaan dalam landasan yang tepat untuk mencapai misi F:30 dan dengan usaha untuk terus tingkatkan prestasi dan perbaiki lagi mutu perlawanan, tidak mustahil ranking kita akan terus naik," katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan supaya semua pihak terus kekal positif, bekerjasama dan memandang ke depan dalam memastikan peningkatan skuad kebangsaan.

"Kita tidak boleh hidup dalam bayangan sejarah silam, kita perlu lihat pada apa yang ada sekarang ini dan bekerjasama dalam meningkatkan momentum Harimau Malaya," katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 7:00am
d