utama

3,170 kes baharu Covid-19, KL tertinggi catat 576 kes [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 3,170 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu bertambah kepada 172,549 kes dengan kebolehjangkitan 41,755 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, lapan kes import dan 3,162 kes penularan tempatan.

"Kuala Lumpur melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 576 kes. Daripada jumlah itu sebanyak 310 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Selangor sebanyak 545 kes dan Johor sebanyak 423 kes.

"Sebanyak 26 kes yang dilaporkan hari ini berkaitan kluster di lokap, depoh tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (10 kes), Kluster Damai Pelangi (8 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (5 kes), Kluster Tembok Mempaga (2 kes) dan Penjara Sungai Jeluk (1 kes)," katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 2,490 kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 130,152 kes.

Selain itu, katanya, terdapat 260 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 103 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, kes kematian pada hari ini adalah 12 kes menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 642 kes iaitu 0.37 peratus.

"Kes kematian membabitkan empat kes di Johor, Selangor (3 kes), Sabah (2 kes) dan masing-masing satu kes dari Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.

"Kesemua kes adalah warganegara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 6:55pm
    d