utama

Janna seronok jadi Haura

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KREDIBILITI pelakon popular, Janna Nick dalam melakonkan apa saja watak tidak perlu dipertikaikan lagi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakannya berjaya memberi kesan kepada penonton.

Itulah menjadikan nama dan populariti Janna, 26, atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner bergerak seiring, sekali gus meletakkan dirinya pada kelas tersendiri.

Malah, Janna yang memulakan kerjaya lakonan sekitar 2013 menjadi antara pelapis pelakon wanita terbaik tanah air.

Terbaharu, menerusi drama Melastik Ke Hatimu yang bergenre romantik komedi, Janna sekali lagi menunjukkan lakonan bersahaja yang dianggap 'hidup' sehingga berjaya menjadi bualan warganet dan peminat drama Melayu.

"Drama Melastik Ke Hatimu bergenre romantik komedi ini lebih ringan berbanding drama emosi. Mungkin disebabkan keadaan sekarang ramai yang 'stress' jadi mereka perlukan naskhah ringan yang dapat menghiburkan.

"Diakui drama genre sebegini dekat di hati saya dan mungkin pada saya tidak terlalu mencabar, kerana itu saya jarang menerima tawaran drama genre komedi. Namun, selepas membaca sinopsis dan skrip drama Melastik Ke Hatimu, saya mula tertarik dengan watak Haura yang digambarkan sebagai gengster kilang," katanya.

Menariknya lagi, sejak mula ditayangkan pada 21 Januari lalu di slot Lestary, TV3, drama adaptasi novel dengan judul sama itu 'trending' di laman Twitter.

Bagi Janna, kejayaan drama itu atau drama lakonannya yang lain bukan atas faktor dirinya semata-mata, tetapi disebabkan kerjasama berpasukan.

"'Trending' sesebuah drama bukan bergantung pada kejayaan saya sahaja. Malah, saya yakin ini hasil kerja semua pihak yang terbabit dalam menjayakan drama berkenaan. Terima kasih juga kepada penonton yang menonton drama lakonan saya. Tanpa mereka tak mungkin lakonan saya mendapat sambutan.

"Dalam drama ini, pengarah, Azmi Hatta banyak beri kebebasan dalam lakonan saya. Pendek kata, saya selesa bekerja di bawah arahannya," katanya.

Berkongsi mengenai gandingannya dengan pelakon utama iaitu penyanyi, Andi Bernadee dan Hafidz Roshdi, Janna yang sebelum ini muncul dalam drama Misteri Mona berkata, kedua-dua mereka pelakon yang baik.

"Berlakon bersama Andi, jujur cakap memang mencabar sebab dia (Andi) jenis mudah terhibur. Apatah lagi, kalau ada babak romantik yang perlu dilakonkan pasti dia akan ketawa terbahak-bahak kerana rasa janggal. Tetapi, saya akui Andi seorang pelakon yang baik walaupun masih baharu.

"Untuk Hafiz, saya yang pernah berlakon dengan dia sebelum ni pun terkejut perubahan lakonannya. Dia sangat 'natural' menjadi mat rempit. Saya sangkakan, Hafiz boleh bawa watak lelaki baik saja.

"Kiranya, keserasian di antara kami mungkin tercipta sebab hubungan kami bertiga di set sangat profesional dan berkawan baik," katanya.

Antara lakonan, nyanyian dan pengacaraan

Selain menjadi pelakon, Janna yang pernah memenangi kategori Artis Versatil Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH 32) turut mengembangkan bakat seni dalam bidang nyanyian dan pengacaraan.

Janna pernah menghasilkan dua single iaitu Mungkin Saja dan Akan Bercinta. Selepas itu, kerjaya nyanyiannya senyap.

"Karya lagu baharu masih dalam perancangan. Saya sedar banyak yang perlu diperbaiki dari segi vokal dan muzik. Jadi, saya tidak mahu terburu-buru untuk mengeluarkan lagu baharu," katanya.

Dalam pengacaraan pula, ini adalah tahun keempat dia diberi tanggungjawab menjadi pengacara program hiburan popular, Melodi di TV3.

Malah, Janna mengakui turut mendapat tawaran mengacarakan program bergenre lain.

"Tahun ini, tahun keempat saya bersama Melodi. Tidak pernah saya jangka akan mengacarakan program Melodi sebegitu lama. Ada terfikir juga untuk mengacarakan program lain dan dapat tawaran, tapi saya tak boleh terima atas sebab kekangan waktu," katanya.

Ditanya juga mengenai tindakannya yang dilihat lantang 'berperang' dengan netizen di media sosial, Janna menganggap ia cara berinteraksi dengan mereka.

"Saya anggap itu cara berinteraksi dengan netizen. Tidaklah berperang, mungkin pendapat saya bercanggah dan tidak dipersetujui ramai. Jadi, saya menganggap ini perkara biasa di media sosial dan asam garam menjadi seseorang yang dikenali ramai.

"Bagaimanapun, saya tidak berkecil hati dan mengambil kata-kata yang dilemparkan netizen secara serius. Akan tetapi, teguran dan nasihat yang baik akan sentiasa saya ambil demi memperbaiki diri serta menjadikan saya lebih baik daripada sekarang," katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2021 @ 7:00am
d