utama

Nicol dinobatkan Atlet Terunggul Sepanjang Zaman

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David sah meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia selepas mendapat undian sebanyak 318,943.

Pemegang takhta pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun itu berjaya mengetepikan James Kehoe iaitu legenda tarik tali Ireland yang mendapat sebanyak 113,120 undian.

Atlet powetlifting Ukraine, Larysa Soloviova pula di kedudukan ketiga selepas meraih 80,790 undian.

Bekas atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu bersaing dalam undian dalam talian dengan 23 calon lain mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan itu (1981 hingga 2017).

Bagaimanapun, undian yang berakhir pada 9 malam tadi (waktu Malaysia) mencatat satu lagi sejarah baru buat sukan negara dan Nicol berada pada kelas tersendiri.

Undian mula dibuka sejak 8 Januari lalu namun bermula 20 Januari, hanya 10 atlet dengan undian tertinggi terus bersaing bagi anugerah berkenaan.

Pada edisi 2019, anugerah itu dimenangi pemain hoki dari India, Ritu Pani.

Anugerah itu dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan ulang tahun ke-40 sukan dunia.

Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981.

Disiarkan pada: February 1, 2021 @ 10:16pm
d