utama

Tangisan si bapa 'lepas' anak ke sekolah [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Lazimnya, kanak-kanak atau golongan ibu yang akan menangis pada hari pertama menghantar anak mereka ke sekolah.

Namun, lain pula kisahnya bagi bapa tiga anak, Muhammad Aiimerul Juanim, 33, yang mendapat perhatian warganet selepas videonya menangis di dalam kereta selepas menghantar anaknya ke sekolah tular di laman sosial.

Menerusi video dimuat naik isterinya, Deeyla Rusly, 33, di TikTok , Muhammad Aiimerul menangis selepas menghantar anak keduanya, Aaira Humaira, 4, atau mesra dipanggil Humaira ke tadika Islam berhampiran rumah mereka di Semenyih, Selangor.

Menerusi keterangan pada video berkenaan, Muhammad Aiimerul dikatakan menangis selama 30 minit dan gelagat Humaira bertanya dengan guru di mana bapanya ketika berada di tadika.

Rata-rata warganet yang menonton video itu meninggalkan komen memahami perasaan Muhammad Aiimerul selain menyifatkannya sebagai bapa penyayang.

Bercerita lanjut, Muhammad Aiimerul berkata, dia tidak dapat menahan sebak kerana Humaira mengalami masalah pertuturan jadi bimbang jika anaknya itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan cara pembelajaran di tadika .

Namun, Muhammad Aiimerul berkata, dia dan isteri terpaksa berbuat demikian demi kebaikan anaknya itu meskipun dengan berat hati.

"Humaira pernah terjatuh ketika berusia enam bulan dan menurut doktor, dia (Humaira) akan mengalami masalah lambat bertutur.

"Saya dan isteri pula sibuk menguruskan perniagaan penjagaan rambut jadi tidak dapat meluangkan masa 24 jam dengannya kecuali pada waktu malam selepas waktu kerja.

"Ada ketika, saya sibuk dengan urusan kerja selama tiga hari jadi tidak boleh biarkan dia duduk di rumah saja bersama pembantu sebaliknya perlu menghantarnya ke tadika demi masa depannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Aiimerul berharap, pengalaman bersekolah di usia kecil dapat membantu anaknya untuk belajar bergaul dan melakukan aktiviti supaya melancarkan pertuturannya.

"Humaira boleh bertutur cuma pelat, tidak seperti kakaknya (Afra Naiila, 6) ketika di usia empat tahun dulu.

"Hanya saya dan isteri saja yang memahami bahasanya jadi itu sebabnya kami memberi lebih tumpuan kepadanya walaupun manja dengan ketiga-tiga anak.

"Sampai ke hari ini, saya masih sedih memikirkannya tetapi lega apabila cikgu memberitahu dia budak yang pandai," katanya.

Mengulas mengenai video yang tular itu, Muhammad Aiimerul sedar isterinya ada merakam tetapi hanya tahu ia dimuat naik di TikTok pada malam semalam.

"Video itu dirakam semalam iaitu selepas kami menghantar Humaira ke tadika. Saya tidak tahu adanya video itu sehingga ia tular dan jujurnya, saya sedih menontonnya sehingga ke hari ini.

"Ini baru menghantarnya ke sekolah tadika dan saya tidak dapat bayangkan bagaimana jika mahu melepaskannya untuk berkahwin apabila sudah dewasa nanti," katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 9:00pm
d