utama

2 penuntut UiTM tersenarai 10 terbaik dunia peperiksaan ACCA, CAT

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Dua penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakar kecemerlangan apabila tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember lalu.

UiTM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dua penuntut berkenaan adalah Fatin Najwa Azman, 22, pelajar semester kelima program ACCA dan Putera Aiman Abdul Rashid, 19, pelajar semester akhir program CAT.

Fatin Najwa mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA) manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama dan kedua dunia bagi peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2).

Dalam kenyataan sama, Dekan Fakulti Perakaunan Profesor Dr Haslinda Yusoff berkata, kedua-dua penuntut itu amat komited dan berdedikasi dalam pelajaran ditambah suasana pembelajaran yang positif.

"Pihak fakulti amat proaktif dalam memupuk suasana pembelajaran yang berkesan. Sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif di UiTM menjadi kombinasi dalam kejayaan penuntut.

"Kejayaan ini juga turut membuktikan kecemerlangan Bumiputera dalam bidang perakaunan. Ia boleh dijadikan rangsangan bagi melahirkan lebih ramai profesional perakaunan Bumiputera terbaik di dunia," katanya.

Haslinda berkata, kedua-dua penuntut berkenaan juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada semua warga UiTM untuk terus memberikan yang terbaik demi menjadikan universiti itu sebuah institusi pendidikan unggul dunia.

UiTM adalah universiti awam pertama di Malaysia menerima ACCA Platinum Award sejak Julai 2011 dan terus berperanan sebagai institusi pengajian awam utama dalam mendokong pencapaian aspirasi negara untuk menghasilkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.

Disiarkan pada: February 5, 2021 @ 3:35pm
d