utama

Magis ditagih

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin akhirnya berpeluang meraih penampilan pertama di peringkat antarabangsa apabila namanya sah disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya pada Mac ini.

Malaysia yang dalam persediaan menghadapi aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bakal mengadakan latihan pusat pada Mac ini dengan buat pertama kalinya Luqman bakal dipanggil.

Ia disahkan sendiri oleh ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe apabila mengakui nama penyerang kelab Belgium, KV Kortrijk itu disenaraikan untuk latihan pusat bulan depan.

Katanya, Luqman akan diberi peluang memperagakan aksinya dan jika permohonan Malaysia dan pasukan lain dalam Kumpulan G untuk menunda kempen Kelayakan Piala Dunia itu gagal, kemungkinan kelibat sulung Luqman boleh disaksikan.

Untuk rekod, berdasarkan perancangan asal, Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac diikuti Thailand di Bangkok Jun ini.

Begitupun, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi pilihan kepada semua pasukan untuk menunda aksi berkenaan kepada bulan Jun dengan format pertandingan perlu dilangsungkan secara karnival.

"Kita tahu Luqman dah kembali daripada kecederaan bersama kelabnya di Belgium dan dia kembali berlatih dan bermain dengan kelabnya. Jadi saya menyenaraikan namanya untuk memberi peluang kepada Luqman dalam latihan Mac nanti di mana pengalaman di sana boleh membantu kita.

"Saya harap dia boleh memberi sesuatu dan sumbangan buat pasukan dan harap dia bersedia," kata Cheng Hoe kepada Arena Metro semalam.

Sebelum ini, Luqman disebut-sebut bakal memperkuatkan pasukan kebangsaan selepas penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu mengikat kontrak panjang selama lima musim dengan KV Kortrijk.

Walaupun baharu enam bulan di sana bermula Ogos lalu, Luqman dilihat berjaya mencipta impak apabila sudah meledak beberapa gol ketika beraksi buat skuad B-21 KV Kortrijk.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe mengesahkan latihan pusat tidak akan dijalankan bulan ini dan hanya memanggil pemain pada jendela perlawanan antarabangsa pertengahan bulan depan.

Jelasnya, beliau mengharapkan anak buahnya diberi kebenaran mengadakan aksi persahabatan jika penundaan kempen Kelayakan Piala Dunia diterima oleh AFC.

"Setakat sekarang saya tak dapat pengesahan dari AFC lagi. Tapi kalau ditunda ke Jun, saya harap kita boleh buat satu atau dua perlawanan sama ada kita keluar negara atau pasukan luar dibenarkan masuk dalam negara.

"Itu semua tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan saya kita dapat berlatih mengikut perancangan," katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2021 @ 7:01am
d