utama

Kongsi pengalaman bersekolah Henry Gurney di media sosial

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pengalaman selama tiga tahun sebagai penghuni Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka dikongsikan bapa seorang anak, Muhammad Izzad Daniel Abdullah menerusi pelbagai video di TikTok dan Youtube sebagai pengajaran buat pengikutnya di platform itu.

Perkongsian di kedua-dua platform itu mendapat sambutan kerana sehingga kini, Muhammad Izzad,22 sudah mengumpul 33,600 pengikut di TikTok manakala 11,300 di Youtube.

Muhammad Izzad yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia mula berkongsi pengalamannya itu sejak Disember tahun lalu iaitu ketika mula aktif di TikTok.

" Sebenarnya, tujuan saya membuka akaun TikTok untuk mengikuti dan menonton dakwah disampaikan seorang rakan di platform itu.

" Kemudian, rakan cadangkan supaya saya kongsikan pengalaman dan pada mulanya malu serta bimbang dikecam warganet.

" Namun, penerimaannya tidak seperti disangka kerana ramai rupanya yang memberi sokongan dan sebenarnya, saya mula berkongsi pengalaman di Youtube sebelum ke TikTok," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Izzad berkata, banyak soalan diterima daripada pengikut dan dia cuba menjawab dengan sebaiknya berdasarkan pengalaman dilalui.

" Ramai berminat untuk tahu bagaimana perjalanan dan kehidupan saya dalam sekolah itu (Sekolah Henry Gurney) dan saya tidak keberatan berkongsi pengalaman dilalui.

" Ini kerana memang banyak pengalaman berharga ditimba di situ namun saya cuba beri mesej kepada pengikut khususnya belia supaya jauhi perbuatan jenayah dan ambil iktibar daripada kesilapan saya lakukan.

" Ia kerana saya enggan masa depan mereka musnah dan mengalami nasib sama seperti saya," katanya.

Menceritakan bagaimana dia dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney, Muhammad Izzad berkata, semuanya selepas ditangkap oleh polis susulan terbabit kes pecah rumah ketika berusia 17 tahun.

Muhammad Izzad berkata, dia melakukan kegiatan itu dengan rakannya tetapi memikul sepenuhnya kesalahan perbuatan itu kerana enggan mereka terkandas daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Meskipun begitu, Muhammad Izzad mengakui memberontak ketika mula ditempatkan di sekolah itu pada awalnya tetapi belajar menerima kenyataan dan mengubah sikap menjadi manusia yang lebih baik.

" Saya mula terjebak dengan kegiatan tidak sihat ketika berumur 12 tahun bermula dengan mengambil pil kuda, syabu dan kemudiannya morfin.

" Bekalan diperoleh daripada rakan dan kadangkala dibeli dengan wang curi tetapi pembabitan dalam kegiatan itu bukan kerana terpengaruh dengan rakan sebaliknya keinginan sendiri untuk mencuba.

" Disebabkan itu juga, pelajaran saya terganggu malah hanya bersekolah sehingga tingkatan empat sebelum berhenti dan berkahwin pada tahun berikutnya (ketika berusia 17 tahun).

" Namun, perkahwinan saya tidak bertahan lama kerana bekas isteri menuntut cerai selepas saya dibebaskan dua tahun lalu," katanya .

Muhammad Izzad berkata, perpisahan itu antara ujian berat terpaksa ditanggung kerana menyebabkannya hilang hak jagaan anak.

Bagaimanapun, Muhammad Izzad bersyukur kerana diberi keizinan oleh mahkamah melawat anaknya yang menetap bersama bekas isteri di Chini, Pahang cuma belum dapat bertemu buat masa ini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berkongsi hala tujunya, Muhammad Izzad berkata, dia sudah menyambung pengajian peringkat Diploma Pengurusan Penerbangan di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Taman Maluri, Kuala Lumpur, enam bulan lalu.

"Biarpun bersekolah sehingga tingkatan empat ,saya bersyukur kerana dapat menduduki SPM dua tahun lalu.

" Saya mendapat keputusan memuaskan iaitu 5A yang melayakkan saya menyambung pengajian di peringkat diploma.

" Impian saya menceburi sektor penerbangan selepas tamat pengajian nanti selain terus memberi kesedaran dan mengajak belia melakukan aktiviti berfaedah menerusi ceramah diberikan.

" Selain itu, saya juga berharap dapat menjejaki adik bongsu (Nik Muhammad Fakhrul Hakimi, 15) yang tidak ditemui sehingga kini kerana sejak usia lima bulan, saya diserahkan kepada keluarga angkat," katanya yang dilantik sebagai ikon Projek Reben Kuning oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada April tahun lalu dan aktif memberi ceramah di sekolah sebelum PKP tahun lalu.

Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 9:00pm
d