utama

Henley akur situasi semasa

Oleh Georgie Joseph

SAMBUTAN Tahun Baharu Cina kali ini ternyata suram buat yang meraikannya.

Tiada lagi kemeriahan seperti sebelum ini. Tidak boleh berkumpul bersama yang tersayang dan mengadakan rumah terbuka berikutan penularan Covid-19.

Kesedihan berganda menimpa pelakon dan penyanyi, Henley Hii, 36, apabila buat pertama kalinya terpaksa meraikan Tahun Baharu Cina tanpa keluarga tahun ini.

Walaupun reda dan memahami situasi, anak jati Kota Kinabalu, Sabah ini jelas rindukan keluarganya.

Hari ini dia sepatutnya sudah berada di kampung halaman di Kota Kinabalu kerana sudah membeli tiket penerbangan, namun terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.

"Setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, saya sebenarnya tidak pernah gagal untuk pulang meraikannya bersama keluarga di sana. Kebiasaannya, saya akan meluangkan masa selama tiga minggu bersama mereka di sana.

"Tahun ini saya memang berhasrat untuk pulang dan sudah membeli tiket. Bagaimanapun, saya memikirkan situasi sekarang di mana penularan Covid-19 masih tidak surut dan bimbangkan keselamatan semua.

"Jadi, saya batalkan penerbangan itu dan akur terpaksa menyambutnya di Kuala Lumpur saja. Memang sedih kerana sambutan bersama yang tersayang di kampung halaman jelas lebih bermakna buat saya," katanya.

Bercerita mengenai sambutan perayaan itu, kebiasaannya Henley menjadikan kesempatan cutinya melepas kerinduan bersama keluarga.

Dia tidak kisah tidak meraikannya besar-besaran asalkan dia dikelilingi orang tersayang.

"Sejak tahun lalu, kemeriahan pelbagai perayaan terbantut padahal itu saja masa untuk kita berjumpa keluarga di kampung. Saya sendiri wajib meraikannya bersama mereka tidak kisahlah meriah atau tidak.

"Masa terluang juga saya gunakan untuk melawat tempat menarik di negeri sendiri. Begitulah rutin saya selalunya apabila pulang ke kampung. Apapun, demi keselamatan, saya telan saja kesedihan itu kali ini," katanya.

Henley juga berkongsi bagaimana dirinya menghadapi situasi pandemik sendirian terutama sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ternyata, dia juga mengakui dugaan itu agak berat.

Ketepikan soal rezeki tawaran bekerja, dia menyedari banyak perkara berharga mengenai hidup dipelajarinya sepanjang berkurung. Antaranya, bagaimana mengawal dirinya agar terus kuat menghadapi situasi itu.

"Kebanyakan masa berada di rumah saya luangkan untuk beribadah. Saya menyedari, ibadah memberikan saya suatu ketenangan yang benar-benar menguatkan diri melalui hari-hari menduga ini.

"Selain itu, saya juga lebih kerap membuat panggilan dan bersembang dengan keluarga di telefon. Sekurang-kurangnya, saya dapat berkongsi luahan rasa dengan mereka walaupun berjauhan," katanya.

Teruja diterima peminat Melayu

Walaupun sudah bertapak selama 14 tahun dalam industri hiburan, pelakon filem Paskal dan Pasal Kau ini cuma dikenali dalam pasaran Cina.

Bagaimanapun, namanya semakin mendapat perhatian peminat Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Baginya, pencapaian itu tentu sangat bermakna buatnya memandangkan dia sendiri giat mengembangkan sayapnya dalam industri perfileman Melayu. Paling penting, dia bersyukur bakatnya mendapat kepercayaan semakin ramai orang industri lakonan.

"Saya bersyukur tuah berpihak kepada saya untuk melangkah lebih jauh dalam pasaran Melayu. Kecintaan saya terhadap bidang lakonan dipermudahkan dan semestinya gembira dengan transisi ini.

"Pembabitan saya dalam filem Paskal misalnya berjaya membuka mata ramai pihak. Memandangkan kena berbahasa Melayu dalam filem itu, ramai juga tertarik dengan pelat Sabah saya.

"Semestinya perkara itu juga antara yang saya banggakan sebagai anak jati Sabah. Saya berharap akan luas lagi peluang untuk menunjukkan kemahiran berbahasa Melayu dalam karya-karya lain selepas ini," katanya.

Memulakan kerjaya sebagai penyanyi, tidak pernah sekali pun rasa cintanya dalam bidang muzik pudar. Hakikatnya, kerjaya nyanyian adalah yang paling utama untuknya walaupun turut menyertai cabang seni lain.

Justeru, dia tidak mahu menangguhkan hasratnya untuk kembali mewarnai industri muzik tempatan dan merancang mengeluarkan album baharu. Baginya, sudah tiba masa untuk dia tampil dengan muzik baharu pula.

"Kali terakhir saya hasilkan album adalah pada 2015 dan selepas itu lebih aktif dalam lakonan. Pastinya, saya sendiri rindu untuk kembali merakamkan lagu baharu dan kini dalam proses mengumpul karya.

"Saya berharap tahun ini akan dapat merealisasikan hasrat itu. Apalagi sekarang lebih ramai kenal saya sebagai pelakon berbanding penyanyi. Jadi, saya mahu kembalikan semula perhatian mereka kepada kerjaya nyanyian saya," katanya.

Henley memulakan kerjaya seninya pada 2005 selepas menyertai program nyanyian Astro Talent Quest. Pada 2007, dia dinobatkan juara program Project Superstar Malaysia di 8TV dan kemudian menjadi penyanyi.

Dia memulakan kerjaya lakonannya secara serius sekitar 2011 dalam kedua-dua pasaran Cina dan Melayu. Antara filem dibintanginya termasuk 23:59, Kepong Gangster, The Cage, Red Storm, Wira, Paskal dan Pasal Kau.

Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 6:00am
d