utama

Penampilan seiring bakat

Oleh Sudirman Mohd Tahir

POPULARITI yang dikecapi pelakon, Hun Haqeem menerusi drama Kampung People membuatkan kerjaya lakonannya terus menuju puncak.

Sejak itu dia menjadi rebutan penerbit dan stesen televisyen untuk membintangi karya mereka.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Hun menjadi antara pelakon lelaki yang akan terus bersinar sepanjang tahun ini.

Tidak hanya mempertaruhkan personaliti dan penampilan menarik, tapi kualiti lakonan ditunjukkan tidak perlu dipertikaikan lagi. Disebabkan itu, nama Hun terus meniti di bibir peminat dan pemain industri.

Bagi membuktikan lagi kemampuan dirinya, Hun, 23, mencabar diri berlakon dalam drama bersiri Angkara Cinta yang baharu saja disambung menjadi 115 episod.

Melakonkan watak Lokman yang mempunyai pelbagai karakter seperti panas baran dan 'psiko' menuntut dirinya untuk lebih fokus.

"Saya mula menjalani penggambaran drama ini sejak Julai tahun lalu. Asalnya hanya 70 episod, tapi terbaharu drama ini disambung 45 episod lagi menjadikan jumlah keseluruhan 115 episod. Insya-Allah, penggambaran dijangka habis April ini.

"Ini pertama kali saya berlakon dalam drama bersiri panjang. Dari segi pengalaman ia memberi satu suasana baharu dalam kerjaya saya. Daripada segi mental pula, sudah semestinya ingatan kena bagus. Ini kerana watak Lokman digambarkan dalam pelbagai karakter.

"Jadi, sewaktu penggambaran memang tidak ada pilihan untuk habiskan satu karakter terlebih dulu. Sebaliknya, saya kena ikut babak. Disebabkan itu saya perlu menjaga graf lakonan dan emosi. Ia tanggungjawab besar untuk menjaga watak dan karakter.

"Diakui watak ini banyak perubahan dan warna. Saya perlu pastikan watak ini berada di landasan betul dan tidak lari jauh. Begitu juga dengan 'mood' dan penghayatan. Bagi saya inilah cabaran besar apabila menjayakan drama episod panjang," katanya.

Hun berkata, sepanjang lebih 180 hari menjalani penggambaran dia masih okey dan boleh menyampaikan apa yang diminta pengarah.

"Persediaan dari segi fizikal dan mental perlu kuat. Mungkin orang beranggapan berlakon dalam drama panjang mudah sebab kena buat drama itu saja. Tapi, saya bersyukur kerana drama ini memaparkan jalan cerita yang menarik.

"Memandangkan lakonan ini adalah minat dan kerjaya, jadi tidak ada apa yang perlu dikesalkan atau berasa rimas. Saya dan pasukan lain sudah lebih 180 hari bersama. Setiap hari kami jumpa muka sama. Apabila fikir penggambaran akan berakhir, rasa sedih pun ada," katanya.

Lima kali seminggu wajahnya muncul di kaca TV sekali gus meningkatkan lagi populariti Hun. Maka, tidak mustahil tawaran kerja yang diterima juga banyak.

"Alhamdulillah, tawaran berlakon sentiasa ada. Insya-Allah, setakat ini sudah ada beberapa kerja sehingga Ogos ini. Cuma, selepas ini semuanya drama biasa saja dan bukannya episod panjang.

"Selepas tamat Angkara Cinta ini, saya akan berehat dahulu. Selepas itu, baru fokus kepada drama seterusnya," katanya.

Masih 'sangkut' di Ipoh

Berkongsi lanjut mengenai perancangan yang sudah diatur membabitkan kerjaya seni, Hun berkata, dia dalam perancangan untuk mengeluarkan produk sendiri.

"Sasaran saya tahun ini nak keluarkan produk sendiri. Ini adalah impian terbesar saya. Kalau boleh nak besar dan perkenalkan lagi produk ini sehingga berjaya.

"Selain itu, saya ada juga terdetik nak berjinak-jinak dalam bidang nyanyian. Mungkin boleh ke arah itu juga, tapi kena tengok masa dan keadaan juga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hun kini masih berada di Ipoh, Perak selepas terkandas akibat pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari lalu.

"Alhamdulillah, keluarga faham dengan kerja saya. Kalau penggambaran di Kuala Lumpur pun, kami jarang dapat meluangkan masa bersama walaupun duduk serumah. Ini kerana kalau saya keluar kerja, mereka masih tidur lagi. Balik kerja lewat, mereka sudah tidur pula.

"Jadi, apabila berpisah seperti sekarang, tidaklah rasa kehilangan sangat. Namun, saya tetap menghubungi mereka. Apatah lagi saya ada anak saudara dan selalu buat panggilan video dengan mereka dan bertanya khabar. Mereka tak risau saya di sini," katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2021 @ 7:00am
d