utama

Wanita tular selongkar tong sampah bersama anak positif dadah [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Seorang wanita yang kisahnya tular ketika menyelongkar tong sampah bersama anaknya untuk mencari barangan kitar semula, ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumahnya di Kampung Baru Nelayan, di sini, hari ini.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia 36 tahun itu ditahan menerusi serbuan pada 8.30 pagi bersama adik lelakinya berusia 34 tahun.

Ketika ditahan, wanita terbabit dalam keadaan khayal dadah dipercayai selepas mengambil pil kuda.

Ketika ditemui di Pejabat AADK Daerah Tumpat, wanita itu dalam keadaan gelisah dan mendakwa 'bengkak susu' kerana tidak menyusu anak bongsunya yang berusia setahun empat bulan beberapa jam selepas ditahan.

Ketika ditanya punca mengambil dadah, wanita itu mendakwa mengalami tekanan perasaan dan berdepan dengan banyak masalah menyebabkan mengambil jalan singkat susulan ditinggalkan suami sejak lebih dua tahun lalu.

"Saya mengaku sudah lama mengambil pil kuda, tetapi berhenti sejak mengandung anak bongsu lebih dua tahun lalu. Namun, kini saya kembali menagih kerana tekanan hidup.

"Banyak masalah dihadapi termasuk memikirkan suami yang entah ke mana menghilang, kemiskinan hidup dan masyarakat sekitar sentiasa memandang serong terhadap saya sekeluarga," katanya sambil memberitahu membeli pil kuda hasil daripada jualan besi buruk diselongkar di tong sampah.

Kisah wanita berkenaan sebelum ini tular apabila dilihat menyelongkar timbunan sampah bersama beberapa anaknya untuk mencari barang kitar semula di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, bulan lalu.

Susulan itu, ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan termasuk Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, selain turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Daerah Tumpat, Siti Morni Mustafa berkata, serbuan itu dilakukan sempena Op Cegah di bawah Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan dan dalam operasi itu, empat penagih ditahan.

Beliau berkata, tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditahan di bandar Tumpat, Pengkalan Kubor serta Wakaf Bharu.

"Seramai 10 anggota diketuai saya sendiri ke lokasi dikenal pasti dan keempat-empat individu itu ditahan di rumah masing-masing.

"Ujian saringan dijalankan mendapati semua yang ditahan positif dadah jenis methampethamine dan masih di bawah pengaruh dadah ketika ditahan pagi tadi," katanya.

Siti Morni berkata, tiga lelaki itu termasuk seorang tangkapan berulang ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Menurutnya, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 8 (3) (a) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 dan kesemua yang ditahan akan menjalani rawatan pemulihan di pusat pemulihan dadah.

Disiarkan pada: February 14, 2021 @ 3:48pm
d