utama

Penerima hati pertama di Malaysia kritikal

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Selepas 23 tahun menjalani pembedahan pemindahan hati, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini kini dilaporkan dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati.

Perkembangan itu dimaklumkan penderma hati pertama di Malaysia Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, yang menjelaskan Mohd Afiq Ikmal, 23, kini dirawat di Hospital Selayang, Selangor.

"Saya harapkan terbaik bagi adik Afiq kerana jangka hayat penerima mampu bertahan lebih 20 tahun selepas menjalani pembedahan pemindahan hati.

"Saya agak risau jika berlaku penolakan, selepas 22 tahun pembedahan dilakukan kerana ada kes penerima lain, Nurul Afiqah Mohd Zahir, meninggal dunia selepas puluhan tahun menjalani pembedahan sama.

"Afiq sebelum ini, dikatakan sudah beberapa kali keluar masuk hospital, tetapi keadaannya kali ini agak membimbangkan. Saya bercadang untuk menziarah Afiq, kira-kira jam 9 pagi esok," katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.

Sebelum ini, Wan Mohd Hafizam dilapor mendermakan sebahagian hatinya kepada Mohd Afiq Ikmal yang ketika itu berusia 14 bulan.

Paparan kisah Mohd Afiq Ikmal itu mendorong Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu, walaupun antara mereka tiada pertalian saudara dengan keputusan itu dibuat atas dasar kemanusiaan.

Disiarkan pada: February 14, 2021 @ 11:08pm
d