utama

Secangkir kopi paling nikmat

Oleh BERNAMA

Kota Bharu: Mengadaptasi inspirasi daripada peniaga kopi jalanan versi kereta di Australia, seorang bekas pegawai jualan tiket di syarikat penerbangan mencipta kelainan menjual kopi bru dekat Jalan Bayam di sini, menggunakan van klasik demi meneruskan kelangsungan hidup.

Wan Mohd Naim Wan Mohd Ghazi, 35, yang kini bergelar barista berkata, idea untuk menyajikan secangkir kopi paling nikmat untuk pencinta kopi menggunakan van klasik itu muncul selepas beliau diberhentikan kerja berikutan pandemik Covid-19 sejak Jun tahun lalu.

"Selepas enam tahun berkhidmat, saya diberhentikan kerja dengan ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS), saya mula mencari idea menjana pendapatan demi meneruskan kehidupan.

"Dari situ tercetus idea berniaga kopi bru menggunakan konsep kenderaan hasil pengalaman ketika bercuti di Australia sekitar 2013. Konsep ini popular dalam kalangan masyarakat di sana," katanya ketika ditemui di Van's Street Coffee miliknya di Jalan Bayam di sini.

Bercerita lanjut, bapa seorang cahaya mata yang berusia lima tahun itu berkata, sekitar November tahun lalu beliau mengikuti bengkel menjadi barista terlatih, boleh menghasilkan pelbagai jenis kopi termasuk seni kopi selama dua bulan.

Wan Mohd Naim berkata, pada awalnya beliau hanya memperkenalkan kepada rakan terdekat termasuk keluarga untuk mencuba kopi dihasilkan dan tidak menyangka ia mendapat pujian sebelum mengambil keputusan melakukannya secara serius.

"Saya melabur RM20,000 untuk memulakan perniagaan termasuk membeli mesin menghasilkan kopi serta alat selain membeli van lama ini daripada ibu saudara berharga RM10,000 dan melakukan pengubahsuaian lengkap dengan kaunter untuk membancuh kopi seperti di kafe," katanya.

Berkongsi cabaran perniagaan sejak sebulan lalu, beliau berkata, pada awal pembukaan van kopi jalanan itu, beliau hanya mampu menjual sekitar 15 cawan namun kini semakin bertambah selepas beliau mempromosikan di media sosial.

"Kini pelanggan saya mempunyai pelbagai pilihan kopi bermutu tinggi yang diperoleh daripada pembekal tempatan antaranya Latte, Cappucino, Americano, Hazelnut, Caramel, Mocha dan sebagainya yang dijual serendah RM5 sehingga RM8 secawan.

"Lebih unik saya mula mencipta perisa kopi bermusim. Bermula minggu lalu saya memperkenalkan perisa kopi baharu, Coffee Orange's Street dan juga Orangened Street sempena sambutan Tahun Baharu Cina sehingga 28 Feb nanti," katanya yang turut dibantu dua pekerja.

Hampir setiap hari kecuali Ahad, Wan Mohd Naim membuka pintu belakang van klasik merahnya bermula jam 3 petang sehingga 9 malam untuk menarik perhatian pelanggan di sekitar Jalan Bayam.

"Matlamat saya menjual kopi jalanan ini selain menjana pendapatan, saya juga mahu beri peluang menikmati kopi bru yang mempunyai cita rasa 'kopi mahal' namun hanya pada harga jalanan," katanya yang mampu meraih sekitar RM8,000 sebulan.

Pelanggan tetap Mohd Nizarmuddin Mohamad Nor, 33, berkata, hampir setiap hari beliau membeli kopi jualan Wan Mohd Naim memandangkan ia bercita rasa tinggi namun dijual pada harga jalanan.

"Bagi penggemar kopi, van kopi jalanan ini pilihan terbaik bagi menikmati rasa kopi bru yang enak seperti di restoran kopi popular tapi pada harga berpatutan," katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2021 @ 8:01am
d