utama

'Sudah takdir kau pergi dulu'

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Dia (arwah) merancang untuk mendirikan rumah tangga selepas Hari Raya Adilfitri tahun ini dengan gadis pilihannya, tapi impian itu sudah berakhir apabila dia maut dalam kemalangan," kata Muhammad Ridzuan Abd Aziz, 34, abang kepada Muhammad Azman Abd Aziz, 29.

Muhammad Azman maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di persimpangan Jalan AST 6 di sini, malam kelmarin.

Muhammad Ridzuan dari Taman Panchor Jaya Paroi di sini berkata, adik bongsunya itu bekerja dengan syarikat Myeg di sini, menjalankan kerja sampingan sebagai pembawa makanan dengan foodpanda sejak bulan lalu.

Menurutnya, ia sebagai usaha mencari pendapatan tambahan bagi persiapan majlis perkahwinannya.

"Dia (arwah) seorang anak yang baik dan memang rapat dengan saya kerana kami hanya dua beradik dalam keluarga. Tiada sebarang perubahan sikap atau kelakuan luar biasa sebelum kejadian yang menimpanya.

"Bagaimanapun, dua hari sebelum kejadian semalam, arwah mengingatkan saya supaya menjaga ibu dan bapa dengan baik.

"Saya tidak menjangka kata-katanya itu seolah-olah petanda dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya," katanya ketika ditemui di luar pekarangan bilik mayat, Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban di sini, semalam.

Beliau tampil menuntut mayat adiknya itu sebaik selesai bedah siasat oleh HTJ.

Muhammad Ridzuan yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia dan ahli keluarga akui terkilan kerana impian arwah tidak kesampaian namun reda dengan ketentuan takdir Allah SWT.

"Memang sedih dengan pemergian arwah adik kerana kami hanya dua beradik dan beliaulah tempat saya berbual dan berbincang berkaitan kepentingan keluarga.

"Namun, takdir Allah sudah menentukan yang dia pergi dulu meninggalkan kami," katanya yang memaklumkan arwah Muhammad Azman akan dikebumikan di kampung mereka di Seri Menanti, Kuala Pilah, lewat petang semalam.

Sementara itu, tunangnya Nurul Aishah Zainal, 30, yang turut berada di pekarangan Bilik Mayat HTJ, berkata, dia sudah merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan dengan Muhammad Azman selepas Aidilfitri tahun ini.

Dia yang berasal dari Melaka dan bekerja di pusat bandar ini berkata, arwah sudah membuat permohonan untuk mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Sinar bagi mencukupkan wang persiapan majlis perkahwinan mereka.

"Bagaimanapun, sehingga kini, pengeluaran itu belum berjaya dan arwah membuat keputusan membuat kerja sampingan sebagai penghantar makanan foodpanda sejak bulan lalu," katanya.

Menurutnya, dia sempat bertemu arwah pada pagi kelmarin.

"Pada jam 7.30 malam kelmarin, dia ada hantar mesej kepada saya untuk berjumpa jam 10 malam iaitu selepas dia selesaikan tugas menghantar makanan.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan dia kemalangan dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Saya terus bergegas ke lokasi itu dan mendapati mayatnya terbaring ditutupi plastik hitam di atas jalan.

"Saya terkejut dan seperti tidak percaya kerana berlaku begitu cepat selepas kami bertemu pada hari siangnya," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.25 malam, di Simpang Tiga Jalan AST 6, Seremban.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Taman AST menuju ke arah Seremban.

"Apabila tiba di tempat kejadian, datang sebuah kereta jenis Hyundai Atos dari arah bertentangan yang dipandu seorang lelaki berumur 64 tahun sedang membelok namun hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan mangsa dan melanggar mangsa di bahagian hadapan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Manakala pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja[afar Seremban untuk pengendalian bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya di sini.

Disiarkan pada: February 19, 2021 @ 8:00am
d