utama

Wartawan tergamam dirompak ketika 'live'

Oleh Agensi

Guayaquil: Seorang wartawan sukan tergamam apabila diacu pistol dan dirompak ketika sedang bersiaran langsung.

Portal New York Post melaporkan Diego Ordinola yang sedang membuat liputan di luar Stadium Monumental di bandar Guayaquil, Ecuador didatangi lelaki yang memakai pelitup muka dan bersenjatakan sepucuk pistol jenis revolver memintanya menyerahkan telefon bimbitnya.

Ordinola dilihat merayu kepada perompak itu melepaskan mereka kerana sedang bertugas.

Bagaimanapun suspek terus mengacukan pistol ke arah jurukamera yang merakam kejadian itu.

Lelaki itu kemudiannya melarikan diri daripada tempat kejadian selepas merampas telefon bimbit milik jurukamera itu.

Kru DirecTV Sports, mengejar perompak itu tetapi hanya dapat merakamnya melarikan diri dengan menaiki motosikal.

Insiden itu berjaya dirakam penuh oleh kru bertugas.

Ordinola berkongsi butiran insiden itu di laman Twitternya, yang mana rakaman itu mendapat lebih 350,000 tontonan.

"Kami tidak dapat bekerja dengan aman dan polis berjanji untuk mencari penjenayah ini," tulisnya.

Ciapannya dibanjiri dengan pelbagai komen termasuk orang ramai menghantar nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek.

Bagaimanapun, tiada laporan daripada media tempatan sama ada suspek sudah ditahan atau dikenal pasti pihak berkuasa negara itu.

Disiarkan pada: February 20, 2021 @ 6:35am
d