utama

Suamiku doula dan bidan, sambut bayi di R&R

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Saya boleh katakan itu antara situasi paling mencemaskan pernah dialami dalam hidup kerana kali pertama menyambut sendiri kelahiran bayi tanpa bantuan sesiapa," kata Mohd Hafis Jamil, anggota polis bantuan di sebuah resort dekat Desaru, Johor.

Mohd Hafis, 35, memberi reaksi itu susulan hantaran dimuat naik isterinya, Nur Farah Hidayah Mohd Hasdi di Facebook (FB) menarik perhatian warganet hingga tular di laman sosial baru-baru ini.

Menerusi hantaran bertajuk 'Suamiku Doula dan Bidan' itu, Nur Farah berkongsi pengalamannya melahirkan anak ketiga iaitu bayi lelaki pada 13 Februari lalu dalam kereta dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Layang, Ulu Tiram, Johor dengan bantuan suaminya.

Bercerita lanjut, Mohd Hafis berkata, insiden berkenaan berlaku ketika dia bersama isteri dan anak sulung, Nur Farisya Humaira, 7, dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Johor dari rumah mereka di Bandar Penawar.

Katanya, keadaan terkawal sehingga dia mendengar isterinya yang berada di sebelah meraung kesakitan.

"Waktu itu, perasaan panik bercampur cemas kerana saya sedang memandu tetapi dikejutkan dengan suara isteri meraung di sebelah.

"Mulanya saya cuba tekan pedal minyak untuk memandu lebih laju tetapi berhenti di tepi jalan selepas isteri memberitahu air ketubannya sudah pecah.

"Melihat keadaan terkawal, saya teruskan semula perjalanan tetapi berhenti di R&R berhampiran tidak lama kemudian selepas mendapati kepala bayi sudah keluar pada paras leher," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Meskipun gementar, Mohd Hafis cuba mengawal perasaan itu dan segera keluar daripada kereta untuk membantu isterinya.

"Ketika itu, saya hanya terfikir untuk mencapai tuala dan bantu isteri lahirkan anak kami kerana bimbang bayi lemas jika lewat bertindak.

"Mulanya macam sukar namun saya cuba yakinkan isteri dan akhirnya bayi kami selamat dilahirkan pada 4.47 pagi.

"Selesai kelahiran, saya balut bayi dengan tuala dan letaknya di pangkuan isteri serta hanya lega apabila mendengar tangisannya.

"Saya teruskan perjalanan tetapi berhenti seketika apabila teringat belum melaungkan azan di telinganya sebelum teruskan pemanduan ke hospital dan tiba jam 5 pagi," katanya.

Mohd Hafis berkata, perasaan cemas dan gementar tempoh hari disebabkan dia tiada pengetahuan dan bimbang seandainya berlaku perkara tidak diingini.

"Syukur semuanya selamat dan apa yang berlaku pastinya satu pengalaman tidak dapat dilupakan. Insya-Allah, saya akan lebih tenang jika berdepan lagi insiden itu pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, isterinya, Nur Farah berkata, dia sekadar memuat naik kisah itu bagi berkongsi pengalaman dilalui dengan rakan di laman sosial.

Katanya, dia berharap perkongsiannya itu membuka mata pasangan di luar sana terutama golongan suami untuk bersiap sedia dalam situasi di luar jangkaan.

"Keadaan pada waktu itu agak kelam kabut kerana kami tidak bersedia malah hari masih gelap dan tiada siapa di kawasan berkenaan.

"Namun saya bersyukur kerana saya dan bayi selamat. Saya tahu suami cemas cuma mungkin dia dapat mengawal perasaan kerana pernah menemani saya di wad bersalin ketika melahirkan anak sulung.

"Dalam situasi seperti itu, suami yang harus tenang dan memainkan peranan untuk menenangkan isteri mereka sehingga selamat melahirkan bayi," katanya yang belum menamakan bayinya dan kini berpantang di rumah mentuanya di Ayer Hitam, Johor.

Disiarkan pada: February 20, 2021 @ 8:00pm
d