utama

Wanita ketua sindiket pengedaran dadah terbesar ditahan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang wanita yang mengetuai sindiket pengedaran dadah terbesar negara ini berjaya ditahan polis, Jumaat lalu.

Wanita berusia 38 tahun itu turut mempunyai dua pucuk pistol semi automatik jenis Glock bagi menjaga keselamatannya.

Kegiatan sindiket berkenaan berjaya dihidu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Bukit Aman selepas enam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Narkotik, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil serbuan berkenaan menemui 240 ketulan mampat heroin 'base' yang bernilai RM7.8 juta.

"Serbuan pada jam 4 petang sehingga 9.20 malam menerusi Ops Mocking Bird itu turut menahan lima lelaki termasuk suami wanita berkenaan berusia 22 hingga 46 tahun.

"Polis turut merampas dua pistol jenis Glock bersama sembilan peluru 9mm dan 16 peluru 0.45mm di salah satu lokasi serbuan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan mendapatkan bekalan dari Myanmar dan Thailand.

"Ketulan berkenaan akan dijual kepada pelanggan sebelum pelanggan memproses sendiri dadah berkenaan.

"Setiap ketulan mampat heroin 'base' itu boleh menghasilkan 22 kilogram dadah jenis heroin," katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati empat dari enam suspek positif dadah jenis methaphetamine.

"Tiga daripada suspek turut mempunyai enam rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Polis menyita lima kenderaan bernilai RM300,000 dan merampas wang tunai RM75,000 menjadikan nilai keseluruhan yang dirampas berjumlah RM8.2 juta," katanya.

Katanya, semua individu terbabit direman selama lima hari bermula 20 sehingga 24 Februari dan akan dibuat permohonan sambung reman.

"Polis kini sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan sama ada terdapat saki-baki ahli sindiket berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 12:36pm
d