utama

Layan tiga anak conteng dinding rumah

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Kelakuan anak-anak menconteng dinding di rumah kebiasaannya tidak disenangi ibu bapa.

Namun berbeza bagi bapa tiga anak, Muhammad Haffiz Yaakop, 37, yang memberi lampu hijau kepada anak-anaknya menghasilkan contengan di dinding.

Dia yang bekerja sebagai Juruteknik Pengeluaran di sebuah kilang berkata, rutin anak-anaknya menconteng dinding itu bukanlah dianggap satu masalah sebaliknya mengabadikannya sebagai suatu memori keluarga.

"Rumah yang saya beli ini juga dinamakan 'Rumah Iepa' sempena anak sulung, Intan Nur Hanifah, 10, maka saya biarkan saja dia dan adik-adiknya menconteng.

"Tetamu datang juga seronok melihat kesan contengan yang dibuat anak-anak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia dan isteri, Intan Hanina Mohd Sirat, 38, tidak menganggap contengan anak-anaknya itu sebagai musibah.

"Kelakuan anak-anak itu tidak bermaksud kami gagal mendidik dan tidak pulak memberi kebebasan mutlak kepada mereka.

"Kebiasaannya kami akan turut serta setiap aktiviti yang mereka lakukan seperti bermain permainan video atau melayari media sosial.

"Dengan cara ini, secara tidak langsung kami dapat memantau aktiviti harian anak-anak," katanya yang menetap di Labu, Negeri Sembilan.

Bercerita lanjut, Muhammad Haffiz berkata, contengan pertama dibuat anak sulungnya sejak usia tiga tahun lagi.

"Saya ada rekod contengan pertama kakak sulungnya di dapur, saya fikir waktu itu sikit saja dan masih awal lagi.

"Apabila adik-adiknya, Muhammad Nur Hanif, 7, dan Intan Nurhana Muhamad Haffiz, 6, meningkat usia, tidak sangka mereka pula sambung 'legasi' kakaknya.

"Mula-mula sikit saja, lama-kelamaan saya menjadi seorang bapa yang lebih penyabar," katanya.

Muhammad Haffiz juga sering membuat perkongsian mengenai aktiviti bersama keluarganya di Facebook, Youtube dan Instagram.

"Banyak aktiviti kami anak-beranak lakukan bersama, tujuannya saya mahu anak-anak menganggap saya sebagi kawan dan tidak kekok untuk meluahkan sesuatu.

"Saya juga muat naik kebanyakan aktiviti kami di media sosial supaya ia menjadi kisah hidup kami secara tidak langsung video dan gambar itu menjadi 'back up' data supaya kami dapat tonton di masa hadapan," katanya.

Terdahulu, Muhammad Haffiz memuat naik beberapa bahagian contengan dinding yang dilakukan tiga orang anaknya di Facebook sehingga mendapat pelbagai reaksi warganet.

Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 8:30pm
d