utama

Prestij jatuh

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Walaupun Malaysia mempunyai wakil yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) sejak musim lalu, ia bukan jaminan nilai Liga Malaysia (Liga M) termahal di Asia Tenggara ketika ini.

Sebaliknya Liga M kini berada pada tangga keempat daripada 10 negara serantau dengan nilai keseluruhan RM165 juta ketinggalan jauh berbanding Liga Satu Thailand di kedudukan pertama dengan RM331 juta.

Paling mengejutkan sudah tentu keupayaan Liga Satu Indonesia yang pernah digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) pada 2015 lalu berjaya memintas Liga M untuk berada di tempat kedua menerusi nilai keseluruhan RM229 juta, diikuti Liga Satu Vietnam dengan RM170 juta.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa, statistik yang dicatatkan oleh laman sesawang www.transfermarkt.co.uk itu mungkin didorong oleh beberapa faktor termasuk isu penswastaan, pembatalan dua pertandingan besar iaitu Piala FA dan Piala Malaysia pada musim lalu dan larangan penyokong ke stadium berikutan pandemik Covid-19.

Malah, isu tunggakan gaji membabitkan beberapa pasukan dalam Liga M turut memberi kesan kepada penilaian yang dibuat oleh transfermarkt itu.

"Sebenarnya banyak faktor penyebab kenapa nilai Liga M di bawah Indonesia dan Vietnam. Antaranya isu pembatalan pertandingan besar seperti Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun lalu yang sedikit sebanyak mengurangkan nilai Liga M.

"Kita kena ingat apabila kurangnya pertandingan, penaja juga kurang tertarik untuk menaja kerana kurangnya promosi jenama mereka di venue selain kurangnya laporan oleh media.

"Ini cabaran sebenar buat penganjur Liga M untuk memikirkan kaedah terbaik supaya liga kita kekal kompetitif dan tidak 'down grade'," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alamnya itu, kemelut tunggakan gaji dilihat 'wabak' paling buruk yang mencemarkan imej Liga M di mata dunia.

"Bukan nak kata liga lain tidak ada isu tunggakan gaji, cuma kita tidak boleh terus biarkan isu ini terbiar tanpa kawalan yang tepat.

"Contoh macam isu Mohamadou Sumareh, apabila dia melaporkan masalah tunggakan gaji kepada Fifa, imej Liga M akan terjejas. Sudah tentu pemain import yang mahu datang ke Malaysia rasa tidak selamat dan membatalkan hasrat untuk main di sini.

"Apabila ia berlaku, keluar masuk pemain import tidak berjalan rancak dan ia akan mengganggu sistem hiliran liga kita secara tidak langsung," katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2021 @ 7:01am
d