utama

Singkap kisah silam

Oleh Georgie Joseph

BUKAN semua pengkarya muzik berani untuk bersikap terbuka mengenai kisah peribadi dalam lagu mereka.

Sesetengahnya lebih suka memilih untuk memendam kisah diri terutama cerita silam yang menyakitkan.

Namun, berbeza buat Jeremy Zucker atau nama sebenarnya Jeremy Scott Zucker, 25, yang mengakui jika karyanya lebih peribadi, lebih bagus. Nilai seni karya yang jujur memiliki harga tersendiri di matanya.

Biarpun terpaksa menyingkap perkara hodoh, penyanyi kelahiran New Jersey, Amerika Syarikat (AS) ini tidak kisah. Keterbukaan sebegitu baginya adalah perkara yang dia sangat banggakan sebagai anak seni.

"Saya kerap mendapat soalan sebegini yang sebenarnya bagi saya bahagian paling mudah dalam berkarya. Ini kerana saya sentiasa menghasilkan lagu yang terlalu peribadi. Bila saya suka lagu itu, saya kongsikannya.

"Ada pegangan dan kepercayaan ganjil dalam diri di mana saya tidak kisah pun mendedahkan seberapa banyak kisah hidup saya. Saya tahu itulah harga sebuah seni yang mampu memberi impak besar kepada orang lain.

"Saya bangga menceritakan pelbagai bahagian hidup saya dan disaksikan sesiapa juga. Sekiranya hal yang saya kongsikan itu mampu menonjolkan sisi buruk sekalipun, saya tidak risau," katanya.

Semakin rancak berkarya, Jeremy menyedari dirinya kian arif dengan proses itu seiring pengalaman. Bukan setakat bahagian mencipta melodi atau menulis lirik, sebaliknya untuk keseluruhan proses menghasilkan lagu.

Apa yang pasti, proses itu menjadi lebih mudah apabila dia menemui lokasi terbaik untuk memerah otak.

Menurutnya, kreativitinya jelas lebih mencurah apabila berada di tempat terasing dan dikelilingi rakan terdekatnya.

"Sewaktu baharu berkarya awal-awal dulu, fasa berjaya menulis lagu itu lebih kepada berlaku secara tidak sengaja.

Namun, sekarang prosesnya lebih semula jadi dan senang untuk menjadi.

"Saya kini lebih tahu apa jenis muzik yang saya mahu tulis. Ia menjadi lebih lengkap apabila saya terbayang menulisnya dari sebuah tempat yang jauh dari rumah seperti kabin di hutan. Kemudian, saya akan tinggalkan bandar untuk ke sana.

"Di sana, saya dan rakan-rakan akan luangkan masa dan menonton wayang bersama. Ia rasa selamat apatah lagi dikelilingi rakan yang mencintai muzik. Situasi itu cukup sempurna untuk kami lebih merasai muzik kami," katanya.

Terbaru tampil melancarkan album mini berjudul brent ii, Jeremy tidak menafikan situasi pandemik sekarang banyak memberi kesan kepada prosesnya.

Baginya, proses berkarya jadi lebih mencabar apabila banyak masanya dihabiskan terkurung.

Bagaimanapun, dia bersyukur ia tidak mengganggu kesihatan mentalnya. Mujur dirinya tidak tinggal keseorangan di kediamannya di New York dan sentiasa ada kawan untuk sepanjang tempoh ini.

"Album ini mula ditulis pada musim panas yang lalu. Proses menulisnya berlaku dengan pantas namun mengambil masa untuk menerbitkannya. Memang sangat sukar dari segi muzik sekarang kerana selama ini saya sudah terbiasa rancak terbabit jadual seni.

"Ketika ini, New York dalam musim sejuk dan sukar untuk berjumpa orang. Mujur saya ada rakan serumah yang menyenangkan selain rakan karib di sekeliling untuk meluangkan masa bersama," katanya.

Bekerjasama dengan pendatang baharu, Chelsea Cutler untuk album terbabit, Jeremy mengakui bertuah menerusi gandingan mereka.

Hakikatnya, dia tidak dapat terfikir projek itu akan menjadi jika bukan bergandingan dengan Chelsea.

Dia turut memuja nilai artistik dalam diri gandingannya itu yang disifatkannya sebuah anugerah unik. Justeru, dia sendiri dapat mengatasi kesukaran dihadapinya apabila Chelsea ada di sisi untuk membantunya.

"Perkara paling saya suka bekerja dengannya adalah dia mempunyai kreativiti bebas. Dia boleh pegang apa-apa instrumen muzik dan mula menyanyi dengan selamba dan mencipta lirik sendiri.

"Itulah anugerah yang saya rasa sukar untuk saya tandingi kerana saya sukar untuk memulakan sesebuah lagu. Kelebihan saya adalah pada bahagian mencari idea dan memilih bahagian yang terbaik.

"Namun, Chelsea pula bagus apabila berfikir dari sudut secara keseluruhan. Sekali gus, ia membuatkan kami saling melengkapi. Kesepakatan antara kami cukup berjaya untuk merangkumkan lagu-lagu dalam album itu," katanya.

Album brent ii adalah kesinambungan brent yang dihasilkan mereka pada 2016. Ia memuatkan lima lagu iaitu this is how you fall in love, parent song, emily, brooklyn boy dan the stars.

Gabungan mereka sememangnya mendapat pujian ramai pendengar apalagi karyanya segar dan menenangkan jiwa. Konsep ringkas dan bersahaja muzik dalam keseluruhan album terbabit benar-benar unik.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 6:20am
d