utama

Baiki prestasi

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Teruk dikritik ekoran prestasi hambar di tiga kejohanan badminton yang berlangsung di Thailand baru-baru ini, pemain nombor satu negara Lee Zii Jia dituntut segera bangkit di Terbuka Switzerland minggu depan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menaruh harapan yang tinggi buat pemain negara itu bangkit memburu kejuaraan di kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 300 yang menawarkan mata kelayakan ke temasya Olimpik Tokyo.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann amat mengharapkan Zii Jia menjadikan pengalaman di Thailand sebagai pengajaran kepada dirinya.

"Memang di Thailand Zii Jia teruk. Tapi sekarang dia tengah berusaha untuk kembali mendapatkan rentaknya semula. Semangat dalam dirinya memang ada dan kami mahu dia lebih bersiap sedia dalam semua segi. Selepas pulang dari Thailand saya nampak semangat dia dan saya yakin dia boleh bermain lebih baik dari Thailand kali ini," katanya.

Nama Zii Jia turut disenaraikan dalam skuad negara ke saingan Seluruh England yang akan berlangsung pada 17 hingga 21 Mac.

Biarpun kejohanan berkenaan tidak menawarkan mata kelayakan namun penyertaan Zii Jia adalah untuk memastikan dia mendapatkan kembali rentak permainannya yang hilang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dari segi data diterima, keadaan dia tidaklah teruk. Fizikalnya bagus cuma dia perlu memasukkan beberapa elemen baru dalam permainannya. Tapi saya tahu apabila moral seorang pemain itu jatuh untuk bangkit semula itu adalah satu cabaran yang sukar. Tapi kita harap dia boleh lakukannya," katanya.

Zii Jia diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang bekas juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen. Untuk rekod Zii Jia mara ke separuh akhir Seluruh England tahun lalu namun tewas kepada Axelsen dalam pertarungan tiga set.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 7:01am
d