utama

Terkilan gagal selamatkan abang [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Nerus: "Saya terkilan tak dapat selamatkan abang," kata Harun Mahmud, 62, adik kepada mangsa lemas di pantai Teluk Ketapang, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, sampan dinaiki mangsa, Mohd Mahmud, 75, terbalik ketika dia memeriksa pukat yang dipasang.

Harun berkata, dia bersama Mohd dan seorang lagi adik, Shamsuddin, 60, ke laut untuk menangkap ikan kira-kira jam 8 pagi.

"Arwah turun ke laut untuk memasang pukat manakala saya dan Shamsuddin memancing di tepi pantai.

"Pada mulanya, arwah kembali ke pantai selepas setengah jam memasang pukat dan turun semula ke laut," katanya ketika ditemui di tepi pantai Teluk Ketapang, hari ini.

Menurutnya, dia kemudian melihat sampan mangsa terbalik ketika abangnya sedang mengutip ikan pada pukat.

"Saya segera mengayuh bot gentian kaca sejauh kira-kira 200 meter untuk menyelamatkan abang. Abang tidak sedarkan diri ketika ditarik ke dalam bot," katanya.

Menurutnya, abangnya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama selepas itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata, dua anggotanya sedang melakukan rondaan di lokasi kejadian mendapati mangsa sudah dibawa naik ke pantai.

Disiarkan pada: February 27, 2021 @ 4:57pm
d