utama

Jumpa peguam

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Langkah berani bekas pemain Marcerra United dan Kuantan FA mengheret isu tunggakan gaji ke mahkamah sivil turut menarik perhatian bekas pemain Terengganu City FC (TCFC) dan Hanelang FC yang mengesahkan sudah memulakan langkah sama.

Bekas pemain TCFC, Izzaq Faris Ramlan berkata, dia bersama pemain-pemain lain sudah mengadakan pertemuan dengan peguam kelmarin dan isu tunggakan gaji yang sangkut sejak 2018 akan di bawa ke mahkamah.

Kata bekas penyerang kebangsaan itu, dia berharap isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik dan TCFC membayar segera tunggakan itu.

"Sekarang ini memang tengah dalam proses di mana peguam tengah buat kerja ini. Dua tiga hari lepas, peguam bagi tahu dia dah hantar surat kepada Terengganu City.

"Saya cuma harap tindakan yang dibuat itu boleh selesai dengan baik dan kami memang harap duit itu sebab saya satu sen pun tak dapat," katanya yang tertunggak gaji selama empat bulan dari Julai hingga Oktober 2018.

Tindakan sama turut diikuti pemain-pemain Hanelang FC di mana bekas pertahanannya, Tuah Iskandar terpaksa memilih untuk menuntut tunggakan gaji itu di mahkamah selepas pihak pengurusan pasukan hilang begitu saja.

"Kami dah bawa isu ini ke peringkat peguam pada dua minggu lalu. Sama juga macam isu pasukan Marcerra United, kami tak dibayar langsung selama lapan bulan pada 2018 lalu.

"Bayangkan dalam bulan kami tak ada gaji dan ia suatu pengalaman yang cukup pahit buat saya. Kami harap tindakan ini boleh selesaikan kerana dah lama sangat tertangguh," kata Tuah kepada Arena Metro.

Sebagai rekod, difahamkan bekas pemain dan pegawai TCFC menuntut tunggakan gaji berjumlah RM977,100 daripada bekas majikan.

Namun hanya 10 bekas pemain TCFC dengan enam barisan kejurulatihan sudah menerima separuh bayaran daripada FAM yang menggunakan wang deposit kelab terbabit serta hadiah kemenangan Piala FAM pada 2018, manakala 20 lagi bekas pemain masih menanti.

Tunggakan Hanelang FC pula dianggarkan berjumlah RM1 juta membabitkan 20 pemain yang masih sangkut dan belum dijelaskan.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 7:01am
d