utama

Kerana jari imej binasa

Oleh Norhayati Nordin & Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Sebagai figura awam khususnya golongan selebriti, setiap perkongsian di media sosial menjadi tanggungjawab yang berat untuk dijaga.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan mereka kadang-kadang terlepas pandang atau tidak mengambil serius perkara itu.

Perasaan teruja atau tidak kisah lebih mengatasi sehingga perkongsian mereka menyentuh sensitiviti sekali gus menerima kecaman.

Paling teruk, ia menjejaskan reputasi mereka dan boleh memberi kesan negatif terhadap kerjaya masing-masing.

Baru-baru ini, hangat beberapa isu membabitkan artis apabila perkongsian mereka menjadi tular hingga mencetuskan kemarahan netizen.

Mereka dikecam teruk, kredibiliti dipersoalkan dan dihentam bertubi-tubi di media sosial masing-masing.

Mengulas isu berkenaan, pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Erra Fazira, 47, mengakui memang susah untuk menjaga hati semua pihak apabila menjadi artis.

Justeru, dia menyarankan supaya artis sentiasa berhati-hati dan peka.

"Sebenarnya tanggungjawab sebagai artis adalah berat. Apa saja yang kita buat, kalau betul, orang suka. Kalau tak betul, kita akan ditegur, dikecam termasuk diugut. Suka atau tidak, ambil yang baik dan buruk jadi pegangan.

"Kita kena cari jalan sendiri bagaimana nak kurangkan yang tak baik itu. Kita kena jaga hati semua orang. Orang sayang kita, maka kita pun kena jaga hati, sensitiviti semua. Ya, kita tiada pilihan. Berkata itu biar cara berhemah, bicara kita ada pengisian, gurau pun yang molek-molek.

"Apa yang boleh kita buat adalah kita ambil tanggungjawab. Apa saja yang kita zahirkan di media sosial, itu adalah tanggungjawab kita. Kita cuba kurangkan menyentuh sensitiviti siapa-siapa," katanya kepada Harian Metro.

Erra turut menekankan kepentingan untuk sentiasa peka dengan kemahuan dan pantang larang orang ramai.

Adalah lebih baik berhati-hati daripada menyinggung hati semua orang.

"Sebaik-baiknya sebagai selebriti, sebelum kita nak berkata apa-apa dan berbuat sesuatu, kena fikir impak kepada ramai orang. Media sosial ini kita guna untuk zahirkan yang baik-baik kepada peminat.

"Apabila tak rancang, maka itu yang terkeluar perkara-perkara sensitif. Mungkin bagi kita hal itu sensitif, keluarga pun okay, sudah faham perangai, kita tak maksudkan, tetapi orang luar tak faham. Inilah yang dikatakan kena jaga sensitiviti orang sekeliling kita.

"Kalau hantaran, mungkin kita boleh sunting balik, tapi kalau buat live, sebaik-baiknya kita rancang apa nak cakap. Katalah terbabas cakap pun, pantas minta maaf. Tak ada mana-mana pihak yang mampu tapis kalau kita buat live melainkan kalau kita rakam, boleh sunting," katanya.

Menurut Erra, tidak ada orang tertentu yang memantau dan mengendalikan media sosialnya. Dia sendiri bertanggungjawab memantau dirinya di samping sentiasa meminta pendapat orang lain yang terdekatnya setiap kali berkongsi hantaran di media sosial.

"Kalau terbabas sekali pun, akan ada kawan-kawan yang nasihatkan mengenai sensitiviti dan tolong jagakan saya. Kita bukannya sempurna, kalau pengikut dan peminat tegur, saya cepat-cepat betulkan. Padam sesuatu perkongsian atau serta-merta minta maaf kalau ada salah di mana-mana," katanya.

Pelakon Sharnaaz Ahmad berkata, kesilapan kurang bijak di media sosial mampu mencetus isu atau spekulasi hingga akhirnya lupa perbuatan komen itu boleh membawa ke arah buli siber.

Sharnaaz menerusi video di Instagram berkata, apa yang berlaku terhadap Janna Nick, Nazim Othman dan penyampai radio Hitz FM Sarawak baru-baru ini adalah buktinya.

"Namun, sebagai manusia kita sentiasa buat silap, kadang-kadang tak sengaja bila dah post sebab anggap bergurau.

"Saya pun pernah buat silap. Kadang-kadang nak bergurau, kadang-kadang sengaja cari nahas. Tapi, apabila kita nak bergurau memang ada batasnya," katanya.

Menurut Sharnaaz, dia juga tidak menafikan menjaga hati orang juga penting. Dalam masa sama, tidak boleh juga terlalu taksub dan ekstrim terhadap seseorang yang sangat diminati itu.

"Apapun kita sebagai netizen nak tegur, ada caranya. Netizen ini orang, bukan makhluk asing dan untuk itu biarlah kita menjadi netizen yang menyebarkan positif. Jangan sampai kita tutup periuk nasi orang dan selepas itu apa yang kita rasa? Puas ke?

"Ingatan saya, jangan babitkan diri kita pada buli siber. Banyak yang buruk daripada baiknya. Cuba kita jadi netizen yang menyokong pada tempat yang betul," katanya.

Menurut Sharnaaz, selain itu kita juga jangan mengambil pendekatan menceritakan semua masalah di dalam media sosial kerana itu akan memberi ruang untuk orang lain meninggalkan komen yang negatif.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel menyifatkan artis mahu pun influencer perlu berhati-hati untuk membuat satu-satu perkongsian di media sosial seperti Instagram dan Tik Tok kerana memiliki ramai pengikut.

"Jangan ambil mudah dengan apa yang nak dikongsikan itu. Ini kerana pada masa sekarang kebanyakan orang cepat membuat andaian. Mereka gemar tengok dan baca lapisan atas sahaja, manakala agak jarang melihat keseluruhan cerita.

"Jadi, kita yang sebagai artis dengan pengikut ramai ini kena pastikan apa nak dikongsikan itu tidak berbaur kontroversi. Ini kerana tanggungjawab kita menyebarkan pengaruh positif itu," katanya.

Menurut Naim, bagi golongan artis untuk mengelak sebarang kemungkinan salah faham berlaku lebih baik berbincang dengan pihak pengurusan terhadap apa nak dikongsi sebelum terus dipaparkan di media sosial. Mengulas mengenai buli siber, Naim berkata, dalam al-Quran pun ada beritahu sesungguhnya setiap kecelakaan itu berlaku atas tangan manusia.

Justeru, katanya kita sebagai netizen janganlah taksub sangat terhadap seseorang hingga sanggup menulis komen tidak sepatutnya.

Menurut Naim, apa yang dibuat itu sebenarnya merugikan masa kerana ada banyak perkara penting yang boleh diberi fokus.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 8:00am
d