utama

Jais serbu rumah, Sajat tiada

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah menjalankan pemeriksaan di rumah usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, malam tadi.

Pemeriksaan dilakukan jam 9 malam di banglo mewah milik usahawan itu di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Menurut sumber, bagaimanapun Sajat tiada di rumahnya dipercayai bersembunyi sebaik waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu.

"Anggota penguat kuasa menjalankan risikan sejak beberapa hari lalu sebelum melakukan serbuan. Hasil pemeriksaan di setiap ruang di rumah berkenaan gagal menemuinya.

"Ketika serbuan dilakukan, hanya ahli keluarga dan pembantu rumah berada di rumah berkenaan. Mereka mendakwa Sajat tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu," katanya.

Sumber itu berkata, Sajat dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di tempat lain bagi mengelak dikesan Jais.

"Anggota penguatkuasa kini berusaha menjejaki Sajat dan tidak menolak kemungkinan dia masih berada di kawasan Lembah Klang," katanya.

Katanya, susulan serbuan itu Jais sudah membuat membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan menerima laporan mengenai serbuan itu.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 6:09pm
d