utama

Tiada ordinan darurat untuk PM berkuasa selama-lamanya [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Tidak ada satu daripada ordinan darurat yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal berkuasa selama-lamanya.

"Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi, malah, darurat yang sedang dilaksanakan ini juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos 2021.

"Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat," kata Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.

Katanya, beliau sudah menegaskan berulang kali bahawa menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi dan memberi jaminan akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan selepas masalah Covid-19 dapat diatasi.

"Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini.

"When the election is held, of course, we will leave it to the people to decide whether the Perikatan Nasional government should be re-elected or otherwise. (Apabila pilihan raya diadakan, sudah tentu kami akan serahkan kepada rakyat untuk buat keputusan sama ada kerajaan Perikatan Nasional perlu dipilih semula atau sebaliknya).

"You are free to choose and that is what democracy is all about (Anda bebas untuk memilih dan itulah demokrasi)," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sejak penguatkuasaan Proklamasi Darurat, Yang di-Pertuan Agong sudah memasyhurkan tiga ordinan iaitu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

"Kesemua ordinan ini adalah bertujuan untuk membolehkan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan lebih cekap dan berkesan, termasuk menambah baik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan Covid-19 di negara kita," katanya.

Menurutnya, menerusi Jawatankuasa Khas Bebas yang turut dianggotai oleh Ahli Parlimen pembangkang untuk meneliti keadaan darurat di negara ini dan membuat perakuan samada darurat boleh ditamatkan lebih awal atau sebaliknya.

"Saya percaya Jawatankuasa Khas Bebas ini akan meneliti keadaan pandemik Covid-19 di negara kita dengan sebaik-baiknya. Jika jawatankuasa ini berpuashati bahawa masalah Covid-19 telah dapat dikawal sepenuhnya, maka perakuan boleh dibuat supaya darurat ditamatkan," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2021 @ 11:35am
d