utama

'Senyuman kan sedekah...' [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bukan hanya pandai memasak, malah Mohd Shafiq Zulkarnain sentiasa murah dengan senyuman hingga mencairkan hati ramai pengikutnya di TikTok terutama wanita.

Personaliti Mohd Shafiq, 28, yang berasal dari Alor Gajah, Melaka, yang suka tersenyum itu menjadi 'trademark' membuatkannya dikenali hingga dapat mengumpul lebih 590,000 pengikut di platform berkenaan.

Ia kerana semua video dimuat naik menunjukkannya tersenyum memandang kamera daripada awal hingga selesai memasak.

Mohd Shafiq berkata, apa dipaparkan di laman sosial itu adalah karakter semulajadinya dan bukan dibuat-dibuat untuk menarik perhatian pengikut atau penonton videonya.

"Saya memang suka senyum tidak kira ketika bergambar atau di dalam video, jadi apa yang dipaparkan itu adalah personaliti sebenar saya.

"Lagipun, senyuman itu satu sedekah dan akan buatkan seseorang itu bertambah manis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Mohd Shafiq yang kini bertugas sebagai pegawai forensik di Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Selangor, berkata dia memang suka memasak hingga boleh menyediakan lima hingga enam jenis masakan dalam sehari.

Justeru, menurutnya, dia mahu berkongsi ilmu dengan orang ramai dan memilih platform TikTok sebagai medium dan gembira kerana perkongsiannya menerima maklum balas positif daripada pengikut.

Katanya, lebih memberikan kepuasan apabila ramai pengikut sudah mencuba resipi dikongsinya dan mula berubah sikap iaitu daripada seorang yang dulunya liat ke dapur dan kini rajin memasak.

"Saya memang minat memasak dan sudah menganggapnya sebagai satu hobi dan terapi untuk menghilangkan tekanan kerja.

"Ilmu memasak dipelajari daripada ibu (Noraini Buang, 62) ketika berusia 11 tahun dan pendedahan awal itu mengajar saya menjadi seorang yang berdikari.

"Hobi itu berterusan sehingga kini dan setiap kali pulang daripada kerja atau cuti rehat, saya akan memasak.

"Cuma, saya masih bujang, jadi kelengkapan di rumah agak terhad dan hanya menggunakan apa saja yang ada, misalnya cawan untuk menyukat bahan dan tunjukkan cara satu persatu cara memasak supaya pengikut yang menonton tidak rasa susah untuk mencubanya sendiri di rumah," katanya.

Di sebalik komen positif, ada kecaman diterima daripada segelintir warganet yang menuduh video dimuat naiknya palsu dan sekadar disunting semata-mata.

Namun, Mohd Shafiq tidak mengendahkannya kerana lebih menghargai mereka yang memberi sokongan sejak dulu hingga kini.

"Ada segelintir warganet meragui kebolehan saya kerana penampilan memakai kemeja ketika memasak selain mengatakan saya hanya 'menjual' muka saja di TikTok.

"Tetapi tuduhan mereka tidak benar kerana ramai sudah mencuba resipi dikongsikan dan percubaan mereka berhasil.

"Apapun, saya berterima kasih kepada semua yang menyokong kerana sokongan itu memberi lebih semangat untuk saya berkongsi ilmu masakan," katanya.

Justeru, dia merancang mahu mengukuhkan nama di laman sosial dan jika ada rezeki mahu mengeluarkan produk sendiri nanti.

Disiarkan pada: March 3, 2021 @ 8:41pm
d