utama

Dengar suara isteri, 4 anak

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Seorang rakyat Malaysia yang kritikal selepas kemalangan di Singapura Sabtu lalu sempat diberi mendengar suara isteri dan empat anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir, kelmarin.

Mohd Shariffuddin Abdullah, 44, terbabit kemalangan di Seletar Expressway (SLE) dekat susur keluar Ang Mo Kio, Singapura meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Tan Tock Seng negara itu pada jam 9.30 malam.

Menurut isterinya, Noorazni Md Shalan, 33, rakan serumah Mohd Shariffuddin banyak membantu mengurus kebajikan Mohd Shariffuddin termasuk membuat panggilan video ketika suaminya dirawat.

"Rakan arwah yang banyak membantu memaklumkan keadaan semasa arwah dan membuat panggilan video supaya arwah dengar suara saya serta empat anak kami.

"Tetapi Allah lebih menyayanginya dan semalam (kelmarin) pada jam 9.30 malam arwah menghembuskan nafas terakhir. Saya dimaklumkan semua kos rawatan akan ditanggung oleh majikan suami.

"Saya sedang menunggu kepulangan jenazah arwah suami. Tidak pasti diuruskan oleh siapa sama ada badan bukan kerajaan (NGO) atau kerjasama kerajaan. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Noorazni berkata, arwah bekerja sebagai penghantar dokumen dilapor kemalangan dengan van ketika melalui SLE pada jam 5 petang.

Katanya, sebelum itu arwah ada membuat panggilan video dengan anak mereka berusia 14, 10, 9 dan setahun tiga bulan.

"Sudah menjadi rutin kami buat panggilan video kerana tinggal berjauhan dan dia juga sempat pulang bercuti selama sebulan pada awal tahun.

"Saya perasan ketika akhir cutinya sebelum kembali ke Singapura, dia banyak termenung tapi tidak memikirkan apa-apa.

"Memang berat ujian ini, tetapi saya reda dan berharap perjalanan terakhir arwah berjalan lancar," katanya.

Wanita itu juga memberitahu akan bekerja selepas ini untuk mengambil alih tugas arwah dan membesarkan anak mereka.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 6:45am
d