utama

Terbaiklah anak muridku...

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Sebagai guru, saya terharu dengan apa yang mereka lakukan dan berharap amalan baik itu akan diteruskan sampai bila-bila," kata Mohamad Yusof Sulehin, guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor.

Mohamad Yusof, 36, memberi reaksi itu bagi mengulas mengenai hantaran dimuat naiknya di Facebook (FB), Rabu lalu.

Menerusi hantaran itu, Mohamad Yusof berkongsi gambar sekumpulan pelajar lelaki mengadakan sujud syukur di dataran sekolah sejurus selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohamad Yusof turut menceritakan sikap pelajar berkenaan yang tahu menghormati guru di luar bilik darjah dan meminta pengikutnya di FB mendoakan semoga anak didiknya itu dan semua calon SPM tahun ini beroleh kecemerlangan dan menjadi insan berguna di kemudian hari.

Menurutnya, perkongsian berkenaan dimuat naik dengan tujuan menceritakan apa yang berlaku spontan di hadapannya ketika itu.

"Sebenarnya, tiada istilah kelas hadapan atau belakang kerana saya tidak pernah membezakan layanan terhadap pelajar.

"Semua pelajar pada asasnya cemerlang dan menjadi tanggungjawab saya serta semua guru untuk membentuk kemenjadian mereka dengan sebaik mungkin.

"Sebagai guru, tentunya saya terharu melihat pelajar di sekolah kami ada kesedaran mengingati Allah daripada melakukan kegiatan tidak berfaedah seperti merempit atau perkara negatif lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Yusof berkaya, lebih menggembirakannya apabila hantarannya itu menerima maklum balas positif daripada golongan ibu bapa.

Menurutnya, dia bersyukur apabila ramai ibu bapa memuji apa yang dilakukan pelajar berkenaan.

"Jelas sekali, pelajar berkenaan tidak hanya berusaha mencari keberkatan ibu bapa dan guru yang mengajar sahaja, malah yang penting mereka turut memohon keredaan Ilahi.

"Jadi, tidak sia-sia didikan kerohanian diberi kepada mereka selama ini dan diharap mereka terus menjadi manusia yang menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

"SPM adalah titik permulaan kehidupan mereka sebelum menempuh apa yang lebih luas selepas ini iaitu 'Universiti Kehidupan'," katanya yang kini aktif menjalankan kerja kemanusiaan dan inisiatif bank makanan dalam usaha membantu orang awam dan pelajar kurang berkemampuan khususnya yang tinggal di asrama.

Disiarkan pada: March 5, 2021 @ 8:54pm
d