utama

Dakwa tukang sihir

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Pengamal ilmu hitam boleh didakwa. Itu yang akan berlaku jika Majlis Agama Islam Negeri (Main) melaksanakan suatu enakmen kesalahan pengamalan ilmu hitam kelak.

Difahamkan, draf prosedur berkaitan siasatan berkaitan pengamalan ilmu hitam sudah dibuat sejak 2015 dan ia turut menggabungkan antaranya bukti forensik sains.

Timbalan Dekan (Akademik) Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Mahyuddin Ismail berkata, mewujudkan enakmen berkenaan satu keperluan bagi memperkemaskan perundangan syariah di negara ini.

Menurutnya, usaha mewujudkan enakmen berkenaan sudah dibuat sejak 2015 termasuk draf prosedur siasatan yang terperinci.

"Kita jangan lihat pengamalan ilmu hitam ini digunakan untuk perbuatan khianat saja sebaliknya kesan paling besar merosakkan akidah pengamalnya serta orang yang mempercayainya.

"Mungkin jika kita cakap tentang ilmu hitam, ada konotasi tersendiri atau mungkin persepsi ilmu hitam ini tidak wujud dan sebagainya sedangkan fakta sebenar sebaliknya.

"Alhamdulillah, setakat ini banyak negeri menerusi Main atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) menyokong usaha ini kerana ia dapat menyekat kegiatan yang merosakkan akidah," katanya kepada Metro Ahad.

Harian Metro pada 2015 pernah mendedahkan secara eksklusif berhubung keperluan untuk mewujudkan suatu undang-undang yang mengekang pengamalan ilmu hitam.

Dr Mahyuddin berkata, semua pihak perlu melihat kepentingan menyegerakan penggubalan peruntukan undang-undang khusus berkaitan jenayah pengamalan ilmu hitam ini.

"Kita lihat juga menerusi rekod perbicaraan terutamanya membabitkan pasangan yang bercerai mendakwa disihir sebagai punca berlakunya situasi dibicarakan seperti cerai.

"Dalam situasi berkenaan, kita tidak berupaya menyelesaikannya dengan baik kerana tiada peruntukan khusus mendakwa perbuatan berkenaan di mahkamah.

"Oleh itu, jika ada peruntukan khusus berkaitan jenayah ini menerusi enakmen, dakwaan terbabit boleh kita kemukakan kepada pihak ketiga yang boleh mengesahkan sama ada kejadian benar-benar berlaku atau sebaliknya," katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 7:30am
d