utama

Sekolah lagi dah kahwin

Oleh Agensi

Sulawesi: Satu pasangan pelajar sekolah menengah di Indonesia menjadi popular sekelip mata selepas kisah mereka berkahwin di bawah umur menjadi tular.

Menurut laporan iNews, pengantin lelaki, Marchel Gunawan dan pasangannya Fitri Nurul Amin masing-masing berusia 14 dan 16 tahun dan masih belajar di sekolah sama.

Pernikahan bawah umur itu dibenarkan selepas pasangan itu membuat dua kali permohonan di Pejabat Urusan Agama (KUA) di Buton Selatan, Sulawesi Tenggara.

Ketua KUA, Samsul Ridi yang menjadi jurunikah pasangan itu berkata, sepanjang perkhidmatannya, itu kali pertama dia menikahkan pasangan bawah umur.

Katanya, permohonan pasangan itu bernikah pernah ditolak pada 8 Februari lalu kerana faktor bawah umur.

Bagaimanapun, permohonan kedua mereka diluluskan, pada 26 Februari lalu.

Sementara itu, ibu pengantin perempuan, Meliana berkata, walaupun lega pernikahan anaknya berjalan lancar namun terselit perasaan bimbang dengan masa depan pasangan itu.

"Kami restu mereka bernikah kerana kedua-duanya saling mencintai dan mahu mengelak kejadian buruk berlaku di kemudian hari.

"Soal pelajaran sekolah, Insya-Allah pasti ada jalan terbaik untuk mereka berdua," katanya dalam portal Kompas.com

Dalam satu video, pasangan itu mengenakan pakaian adat Buton kelihatan malu-malu dalam majlis pernikahan mereka yang dihadiri keluarga terdekat.

Pengantin lelaki melafazkan akad nikah dengan lancar dan disambut dengan tepukan keluarga yang datang.

Disiarkan pada: March 8, 2021 @ 6:30am
d