utama

India kesan varian bermutasi dua kali

Oleh Agensi

New Delhi: Pakar kesihatan India mengesan varian baharu Covid-19 di negara itu yang dikesan bermutasi dua kali.

Ia berdasarkan sampel yang dikumpulkan di negara berkenaan.

BBC melaporkan pakar sedang memeriksa mengenai varian itu dengan lebih lanjut di mana dua mutasi berlaku pada virus yang sama.

Sebanyak 10,787 sampel diambil dari 18 negeri di India dan ia menunjukkan 771 kes varian Covid-19 yang dikenal pasti,

Ia meliputi 736 varian United Kingdom (UK), 34 varian Afrika Selatan dan satu varian Brazil.

Pakar mengatakan varian-varian itu bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan lonjakan kes positif Covid-19 di India pada ketika ini.

Mereka juga sedang mengenal pasti sama ada varian baharu ini lebih mudah menular atau sebaliknya.

"Kami mengesan mutasi berganda E484Q dan L452R. Ia dikesan dalam 206 sampel di Maharashtra di barat India dan dalam beberapa kes di New Delhi serta sembilan sampel lagi," kata Pengarah Pusat Kawalan Penyakit (NCDC) India, Dr Sujeet Kumar Singh.

Dapatan ini diperoleh hasil kajian 10 makmal di bawah Kementerian Kesihatan negara itu.

Pasukan pakar ini menjalankan ujian genom bagi mengenal pasti kod genetik setiap virus.

India kini merekodkan 11.7 juta kes positif Covid-19 dengan 160,000 kematian.

Dalam pada itu, pihak berkuasa di beberapa negeri di negara itu sudah kembali menguatkuasakan peraturan kawalan bagi mengekang penularan Covid-19.

Ia termasuk sekatan pergerakan dan perintah berkurung serta peraturan khusus bagi acara sosial dan keagamaan.

Dua bandar utamanya, New Delhi dan Mumbai juga menjalankan ujian saringan Covid-19 secara rawak di lapangan terbang, stesen kereta api dan kompleks beli-belah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 26, 2021 @ 7:01am
    d